Pfizer, salah satu syarikat pertama yang dilihat membangunkan vaksin untuk menangani wabak virus COVID-19 telah berjaya membangunkan ubat pil yang dinamakan Paxlovid yang boleh digunakan oleh dewasa yang sedang menghidapi jangkitan daripada virus tersebut.
Terkini, kerajaan Singapura telah meluluskan penggunaan pil Paxlovid ini untuk dewasa yang baru menghidapi jangkitan virus tersebut, dan dijangka akan menerima penghantaran pertama dalam bulan ini.

Menurut ujikaji, pil Paxlovid ini dilihat membantu pesakit COVID-19 mengurangkan risiko hospitalisasi dan kematian sebanyak 89 peratus sekiranya diberikan dalam masa 3-5 hari mereka didapati menghidapi jangkitan tersebut.
Pil Paxlovid ini juga patut ditelan dua kali sehari selama lima hari untuk menampakkan kesan pemulihan daripada jangkitan yang lebih berkesan. Pihak Pfizer turut mengatakan bahawa pil ini telah diuji dengan pesakit yang menghidapi COVID-19 varian Delta, dan juga berkesan menentang virus varian Omicron.
Seperti yang dikatakan, kerajaan Singapura dijangka akan menerima bekalan pertama pil Paxlovid ini sekitar bulan ini, dan akan digunakan untuk mereka yang menghidap COVID-19, dan berisiko tinggi untuk menghidapi komplikasi penyakit serius dan tidak boleh menerima suntikan dos vaksinasi.
Sumber: ChannelNewsAsia