Vivo NEX 5 Dijangka Diperkenalkan Sekitar Bulan Ini

Diterbitkan pada Feb 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada mempunyai spesifikasi dan fungsi yang baik, peranti pintar di bawah siri Vivo NEX sering hadir dengan sekurang-kurangnya satu inovasi unik. Baru-baru ini, khabar angin mengenai kewujudan Vivo NEX 5 telah kedengaran, malahan beberapa imej pengolokan yang didakwa memperlihatkan rekaan peranti turut telah dikongsi.

Terkini, timbul pula desas-desus baharu yang mendakwa peranti berkenaan bakal tiba sekitar bulan ini. Ia berikutan tularnya imej yang berkaitan hal berkenaan di arena web. Ia menunjukkan peranti hadir dalam kemasan berwarna putih bersama penjenamaan NEX 5. Pada masa sama, penjenamaan Zeiss turut kelihatan pada imej berkenaan. Senario ini memberi bayangan bahawa Vivo ada kemungkinan bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk penghasilan peranti ini kelak.

Bercakap mengenai rekaan, ia menampilkan panel hadapan sejenis melengkung pada kedua-dua sisi bersama lubang untuk kamera swafoto. Paparan ini turut dipadankan dengan saiz bezel yang seimbang pada kesemua sisi. Kemudian, ia juga mempunyai modul kamera berbentuk bulat pada bahagian belakang. Melaluinya, ia menempatkan sistem kuad-kamera dengan lensa keempat kelihatan seperti lensa periskop. Penggunaan tulisan 50MP turut secara jelas menunjukkan peranti kelak dibekalkan sensor utama sebesar 50MP.

Buat masa ini, perlu diingatkan maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura. Tapi jika ianya benar, kita boleh menyasarkan lebih banyak maklumat mengenai peranti yang akan dikongsi dari masa ke semasa. Nantikan.

Sumber : Sparrownews

komen


© Amanz / 2022 Kami