Dalam karya sains fiksyen Superman dan Foundation, teknologi rahim buatan manusia digunakan bagi memastikan janin dapat berkembang di luar tubuh manusia. Ketiadaan graviti dan kadar radiasi tinggi dipercayai boleh mengganggu tumbesaran janin sekiranya manusia membiak di angkasa. Rahim buatan untuk janin manusia masih lagi fiksyen tetapi ia sedang giat dibangunkan oleh saintis.
Menurut laporan South China Morning Post, saintis dari Suzhou Institute of Biomedical Engineering and Technology telah berjaya membangunkan kecerdasan buatan yang memantau perkembangan janin tikus dalam rahim buatan manusia. Kecerdasan buatan ini akan menjadi penjaga yang boleh mengesan perubahan nutrien dan tahap karbon dioksida janin tikus. Jika perubahan dikesan, ia boleh campur tangan untuk menggalakkan perkembangan dan memberikan notifikasi sekiranya janin mati.

Kajian pada waktu ini hanya dilakukan ke atas janin tikus kerana eksperimen menggunakan janin manusia diharamkan oleh komuniti sains kerana isu etika perubatan. Walaupun kertas kajian telah diterbitkan tiada maklumat sama ada janin tikus yang dibesarkan dalam rahim buatan manusia ini berjaya berkembang sepenuhnya ke tahap akhir.
Pembangunan janin buatan manusia dapat menyelesaikan isu wanita yang tidak boleh mengandung kerana tiada rahim, kerjaya yang terhalang kerana bunting dan mereka yang tidak boleh mengandung akibat masalah kesihatan. Pada tahun 2017, janin biri-biri berjaya dibesarkan dalam rahim buatan manusia khusus untuk menyelamatkan bayi pra-matang.
Kajian masih di peringkat awal tetapi tidak mustahil ia akan menjadi realiti. Hanya beberapa tahun yang lalu idea menggunakan organ haiwan sebagai ganti organ manusia dianggap mustahil tetapi terbukti boleh dilakukan tahun ini.