Garmin Malaysia kini hadir dengan dua penawaran baharu buat pengguna di Malaysia. Melaluinya, Garmin Venu 2 Plus dan Garmin Vivomove Sport diumumkan dengan sejumlah penawaran yang menarik.

Bagi yang berminat, Vivomove Sport ditawarkan pada harga RM840, sementara itu Garmin Venu 2 Plus pula berharga RM2,099. Kedua-duanya boleh didapati menerusi beberapa saluran berbeza seperti Lazada, Shopee, AECO e-Store dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia.

Untuk spesifikasi, Garmin Venu 2 Plus ialah jam tangan dengan spesifikasi lebih tinggi kerana dilengkapi skrin 1.3″ AMOLED dan tubuh sebesar 43mm. Ia turut dilengkapi pembesar suara dan mikrofon yang membolehkan ia melakukan panggilan telefon serta menyeru pembantu maya. Seterusnya, beberapa ciri penjejak kesihatan seperti degupan jantung, SpO2, pernafasan, pola tidur dan stres turut disokong. Tubuh jam ini juga kalis air sehingga 5 ATM untuk dibawa berenang dan turut hadir dengan ciri NFC Garmin Pay.

Garmin Vivomove Sport pula ialah jam tangan pintar hibrid dengan muka jam analog dan skrin OLED di bahagian bawah. Apabila dipakai, Vivomove Sport kelihatan seperti jam tangan biasa dan skrin OLED hanya memaparkan maklumat apabila disentuh. Terdapat ciri penjejakan standard seperti Venu 2 Plus tetapi tiada ciri menjawab panggilan telefon atau menyeru pembantu maya. Kemampuan ketahanan air juga sehingga 5 ATM. Bateri Vivomove Sport boleh bertahan sehingga lima hari.