Microsoft Windows 11 – Bukan Sekadar Perubahan Kosmetik

Diterbitkan pada Feb 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Microsoft memperkenalkan sistem operasi terbaru mereka, Windows 11 sekitar penghujung tahun lepas dengan memperlihatkan sejumlah besar kemaskini baru dari segi antaramuka dan sejumlah sokongan tambahan baru yang menarik, seperti janji untuk menyokong aplikasi Android secara terbina.

Beberapa bulan selepas sistem sistem operasi tersebut diperkenalkan, kami melihat sendiri samada ia berbaloi untuk orang ramai “menaiktarafkan” sistem operasi Windows sedia-ada mereka kepada versi terbaru ini.

Penaiktarafan Percuma

Bagi mereka yang sudahpun menggunakan sistem operasi Windows 10 sebelum ini, penaiktarafan kepada sistem operasi Windows 11 adalah percuma. Microsoft dilihat meniru taktik penaiktarafan sistem operasi Apple, dan sejak pengenalan Windows 10, telah memberikan pengguna sistem operasi sebelumnya kemaskini percuma kepada sistem operasi yang terbaru.

Walaupun begitu, Microsoft pada mulanya dilihat menetapkan syarat-syarat yang agak ketat bagi mereka yang mahu menaiktarafkan sistem operasi tersebut, dimana pengguna haruslah memiliki sebuah komputer desktop ataupun komputer riba yang boleh dikatakan agak baru.

Salah satu syarat yang diperlihatkan ialah penggunaan cip sekuriti Trusted Platform Module 2.0 ataupun TPM 2.0 yang hanya hadir pada cip pemprosesan Intel generasi ke-8 dan keatas, dan juga siri CPU AMD Ryzen 3000 dan keatas. Perbezaannya ialah untuk cip pemprosesan AMD Ryzen, cip TPM ini, ataupun fTPM dimuatkan didalam papan induk, dan bukan didalam cip pemprosesan tersebut.

Secara ringkasnya, untuk pengguna Intel, mereka haruslah menggunakan cip pemprosesan Intel generasi ke-8 dan keatas, manakala untuk pengguna komputer AMD, penggunaan sistem dengan cip pemprosesan Ryzen 3000 keatas diperlukan, termasuklah papan induk AM4 siri X570 ataupun B550 dengan sokongan fTPM.

Selain daripada spesifikasi minima CPU tersebut, sebuah komputer yang mahu menggerakkan sistem operasi Windows 11 juga haruslah mempunyai jumlah memori minima 4GB dan juga jumlah storan minima 64GB.

Untuk memudahkan pengguna untuk mengetahui sendiri samada komputer mereka boleh dikemaskini kepada sistem operasi ini, Microsoft juga telah memperkenalkan perisian PC Health Check yang boleh digunakan untuk melihat apakah komponen yang mungkin perlu dinaiktarafkan.

Pemasangan Sistem Operasi

Kini terdapat beberapa cara untuk anda memasang sistem operasi tersebut, dimana anda boleh mengemaskini sistem operasi tersebut melalui tetingkap kemaskini, ataupun memuat-turun fail ISO Windows 11 daripada laman web Microsoft.

Jika anda mahu menggunakan media cakera DVD ataupun pemacu USB, laman web tersebut juga menawarkan cara mudah untuk menukarkan aksesori-aksesori tersebut kepada sebuah media mengemaskini sistem operasi dengan cepat dan mudah.

Dengan pemacu USB, anda hanya perlu menukar boot order komputer anda untuk mengutamakan pemacu tersebut, dan ia kemudiannya akan memulakan proses pemasangan sistem operasi sama seperti sistem-sistem operasi Windows sebelum ini.

Satu perbezaan besar yang dapat dilihat sewaktu proses pemasangan ini, selain daripada rekaan antaramuka ialah pengguna kini tidak lagi boleh mengelak daripada menyambungkan komputer ke Internet sekiranya mereka tidak mahu melog masuk ke akaun Microsoft mereka untuk mengaktifkan sistem operasi Windows 11 ini.

Setakat ini, daripada apa yang kami boleh lihat ialah komputer tersebut tidak boleh dilihat boleh menyambung ke mana-mana sambungan internet, ataupun memastikan komputer dalam mod Airplane sekiranya mereka mahu mengelakkan daripada melakukan proses ini.

Tetapi selain daripada itu, seperti yang dikatakan, proses memasang sistem operasi ini adalah sama seperti apa yang diperlihatkan pada sistem operasi Windows sebelum ini.

Membiasakan Diri Dengan Windows 11

Apabila anda menggunakan sistem operasi Windows 11 untuk pertama kalinya, perubahan pertama yang anda akan lihat hadir daripada rekaan taskbar yang kini memperlihatkan ikon aplikasi yang difokuskan ke bahagian tengah paparan, dan bukan lagi di sebelah sisi.

Menu Start sistem operasi ini juga dilihat sedikit berbeza dimana menunya juga diketengahkan dan perisian-perisian yang dipin akan diutamakan. Carian perisian juga boleh dilakukan melalui menu ini, termasuklah cara cepat untuk mengakses menu Shut Down dan juga pertukaran akaun pengguna komputer.

Antaramuka File Explorer juga memperlihatkan perubahan ketara dimana ikon-ikon folder dan pintasan juga berubah dimana ia kini dilihat lebih ceria dan mudah untuk dibezakan antara satu sama lain. Ikon-ikon tersebut lebih besar, dan teks dilihat semakin mudah untuk dibaca tidak kira di komputer desktop mahupun komputer riba.

Perubahan antaramuka tidak dilihat pada File Explorer sahaja. Windows 11 boleh dikatakan sistem operasi pertama Microsoft dalam satu jangka masa yang sangat lama dimana mereka memperlihatkan perubahan menyeluruh pada sesebuah sistem operasi, termasuklah bagaimana pelbagai menu sistem operasi ini diakses.

Apabila anda melihat pada menu perubahan paparan dan resolusi skrin, menu yang diperlihatkan jauh berbeza dengan apa yang anda akan biasa lihat pada sistem operasi Windows 7, 8 ataupun 10. Tetapan penting seperti resolusi, kecerahan paparan, skala antaramuka dan paparan dan fungsi-fungsi lain diketengahkan dan pengguna tidak lagi perlu masuk dan keluar pelbagai menu tetapan lain untuk mengubahsuai tetapan-tetapan ini.

Antaramuka taskbar juga memperlihatkan perubahan yang ketara dimana pengguna kini boleh mengakses tetapan seperti kelantngan audio, kecerahan paparan, senarai WiFi, mod battery saver dan sebagainya dengan lebih mudah.

Sebagai seseorang yang sering bekerja di luar pejabat, akses mudah dan cepat kepada fungsi-fungsi ini adalah sesuatu yang saya sangat mahukan. Bagi mereka yang menggunakan komputer mereka dalam mod gelap, Windows 11 turut memperlihatkan Dark Mode yang lebih menyeluruh, dimana bukan sahaja antaramuka desktop memperlihatkan perubahan antaramuka gelap, tetapi juga fungsi seperti File Explorer, menu-menu tetapan dan juga perisian web Microsoft Edge.

Fungsi seperti Control Panel dilihat masih belum diubah lagi antaramukanya, dan juga sokongan untuk Dark Mode sebenar, tetapi seperti apa yang dapat diperlihatkan melalui pengumuman-pengumuman oleh Microsoft, mereka dilihat akan mengubah semua antaramuka sistem operasi ini sedikit demi sedikit dengan kemaskini berkala mereka.

Antaramuka lain yang diubah adalah seperti Photo Viewer, Paint, Snipping Tool untuk menyelarikan rekaan aplikasi-aplikasi ini dengan antaramuka Windows 11, membolehkan Microsoft untuk memperkenalkan fungsi-fungsi baru pada aplikasi-aplikasi ini.

Fungsi Baru Windows 11

Selain daripada antaramuka baru, Windows 11 turut memperlihatkan sejumlah fungsi-fungsi baru yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai jenis pengguna.

Salah satu ciri terbesar yang dijanjikan oleh Microsoft ialah sokongan untuk menggerakkan aplikasi Android secara natif pada mana-mana komputer yang boleh menggerakkan sistem operasi ini.

Microsoft dilihat akan bekerjasama dengan Amazon untuk membangunkan gudang aplikasi Android ini, dan walaupun ujian untuk fungsi ini dilihat sedang, rata-rata majoriti pengguna masih lagi menunggu untuk mendapatkan sokongan ini secara rasmi.

Kedua ialah untuk golongan gamer dan pengguna tegar media pada komputer mereka, Windows 11 turut hadir dengan fungsi HDR terbina yang membolehkan pengguna menikmati kandungan media menggunakan teknologi warna dan paparan ini untuk olahan warna yang lebih baik, tidak kira untuk tujuan menonton video ataupun menggerakkan permainan komputer.

Jika sebelum ini fungsi widget diperlihatkan secara terus dari desktop, Windows 11 mengemaskini fungsi tersebut dengan memperkenalkan satu tetingkap khusus yang merumahkan kesemua widget-widget yang akan digunakan oleh pengguna, seperti cuaca, kalendar dan berita.

Microsoft juga dilihat akan mengemaskini fungsi Task Manager untuk memudahkan pengguna bukan sahaja untuk membunuh aplikasi yang tidak digunakan, tetapi juga untuk mengurangkan penggunaan sumber memori dan pemprosesan supaya aplikasi lain dapat memanfaatkannya juga.

Tetapan bateri Windows 11 juga akan dikemaskini khususnya untuk komputer riba produktiviti nipis dan ringan untuk membolehkan komputer-komputer tersebut hadir dengan jangka-hayat bateri yang lebih panjang, dan untuk komputer riba yang lebih berkuasa, akan membolehkannya hadir dengan penggunaan kuasa yang lebih cekap bergantung kepada penggunaan komputer riba tersebut.

Windows 11 dilihat menggunakan sistem kemaskini sama yang digunakan pada Windows 10, dan dijangka akan memperkenalkan kemaskini yang cukup besar sekurang-kurangnya dua kali setahun, dengan kemaskini sistem dan sekuriti setiap suku.

Kekurangan

Dengan pengenalan sesebuah sistem operasi Windows yang baru, ia sudah pastinya hadir dengan beberapa kekurangan yang agak ketara di sini dan sana. Apabila sistem operasi ini mula diperkenalkan, penggunaan biasa sistem operasi ini dilihat tidak mempunyai begitu banyak masalah, sehinggalah terdapat laporan yang mengatakan bahawa pengguna komputer dengan CPU AMD Ryzen melaporkan isu prestasi.

Isu utama dengan CPU tersebut ialah Windows 11 mempunyai satu fungsi yang dipanggil Preferred Cores dimana sistem operasi tersebut akan memindahkan tugasan CPU ke teras yang lebih berkuasa. Fungsi ini secara lazimnya dilihat berfungsi baik dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-12 yang mempunyai teras Performance dan Efficiency, tetapi oleh kerana fungsi tersebut tidak dikonfigurasi dengan baik untuk CPU AMD, ini mendatangkan isu prestasi pada CPU tersebut.

Satu lagi isu lebih melibatkan golongan gamer, dimana perisian DRM Denuvo yang digunakan pada sejumlah besar permainan popular menyebabkan permainan-permainan yang digerakkan pada sistem operasi ini tidak boleh dimainkan secara tiba-tiba, khususnya jika anda juga menggunakan komputer dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-12.

Intel dilihat telah memperbaiki masalah Preferred Cores untuk AMD dan juga isu DRM Denuvo ini pada bulan lepas, dan baru-baru ini, ujian untuk sokongan menggerakkan aplikasi Android juga telah dimulakan, jadi kita boleh menjangkakan bahawa kemaskini besar baru untuk sistem operasi ini akan tiba tidak lama lagi.

Adakah Berbaloi Mengemaskini Ke Windows 11?

Sepanjang tempoh saya menggunakan sistem operasi ini, jujur saya katakan bahawa untuk saya, tidak banyak perbezaan yang saya perasan apabila menggunakan komputer riba saya untuk kerja harian.

Ini bukanlah sesuatu yang buruk, kerana bagi saya jika beralih dari satu sistem operasi ke sistem operasi yang lain tidak mengganggu produktiviti harian saya selain daripada perlu mengemaskini dan menukar beberapa tetapan pada waktu awal menggunakan sesebuah sistem operasi tersebut, saya rasakan ini ialah sesuatu yang cukup baik sekali.

Jika anda memiliki sebuah komputer desktop dan juga komputer riba, saranan saya ialah anda cuba menaiktarafkan sistem operasi komputer riba anda dan mencuba sendiri ciri-ciri komputer riba tersebut sebelum mengemaskini komputer utama anda.

Bagi saya, untuk tujuan produktiviti harian di pejabat, sistem operasi Windows 11 cukup berguna untuk anda khususnya jika ekosistem digital pejabat ataupun peribadi anda banyak memanfaatkan tawaran Microsoft yang lain, seperti Office 365, Skype, Microsoft Teams dan OneDrive.

komen


© Amanz / 2022 Kami