Samsung Galaxy Watch4 akan menerima kemas kini bagi menambah ciri penjejakan kesihatan tubuh dan juga tidur yang lebih baik. Menerusi ciri penjejakan tidur baharu, jam akan menganalisa pola tidur pemakai selama seminggu. Selepas tempoh tersebut cara tidur akan dibahagikan kepada lapan haiwan berbeza bergantung kepada ritma sikardia pemakai. Menerusi lapan kelas berbeza ini, Watch4 akan menyarankan apa yang boleh dilakukan oleh pemakai bagi meningkatkan kualiti tidur mereka.

Seterusnya ciri komposisi tubuh Watch4 akan menjadi semakin berguna dengan pengenalan aplikasi Centr. Centr akan memberikan maklumat mengapa berta tubuh meningkat atau mengesan otot meningkat serta memberitahu pemakai sama ada ianya normal ataupun tidak. Selepas kemas kini dilakukan Centr boleh digunakan percuma selama sebulan.

Samsung turut memperkenalkan ciri menstrim audio YouTube Music menggunakan LTE atau WiFI terus dari jam. Pada waktu yang sama Samsung turut mengesahkan Watch4 akan akhirnya menyokong pembantu maya Google Assistant dalam bulan-bulan mendatang. Selama ini hanya Bixby sahaja boleh digunakan.
Akhir sekali enam rekaan tali baharu Sport Band, Fabric Band dan Link Bracelet diperkenalkan untuk memudahkan pemilik Watch4 menggayakan jam mengikut busana serta situasi ia digunakan. Kemaskini sistem operasi Watch4 akan diberikan secara berperingkat bermula 9 Februari.