Carian
Ulasan Prism+ Nomad 16 – Mudahkan Produktiviti Dimana-mana
May 20, 2022 Nazrin

Penggunaan skrin sekunder untuk menambahkan ruang paparan yang sebelum ini popular di kalangan pengguna desktop kini dilihat juga semakin popular di kalangan pengguna komputer riba yang rata-rata merasakan satu skrin kecil sahaja tidak memadai untuk memaksimakan aktiviti produktiviti ataupun riadah mereka.

P

Sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat beberapa jenama komputer mula memperkenalkan produk skrin sekunder khusus untuk komputer riba seperti ASUS, Lenovo dan sebagainya, dan kini, Prism+, jenama pembuat paparan dari Singapura juga menawarkan produk skrin sekunder mereka sendiri yang dinamakan Prism+ Nomad 16.

Rekaan Dan Spesifikasi

Skrin16″ IPS, 1920×1080 piksel, 16:9, 60Hz
Sokongan Warna105% sRGB
Nisbah Kontras1500 : 1
Kecerahan420 cd/m²
Masa Tindak BalasMencapai 1 ms
Sokongan Paparan AdaptifTiada
CagakTiada
I/OUSB 3.2 Type-C x2
Mini HDMI
AudioBicu Audio 3.5mm
USBUSB 3.2 Type-C x2
Kamera WebTiada
HargaRM 999

Bermula dengan rekaan dan spesifikasi paparan skrin Prism+ Nomad 16 ini, ia menggunakan panel IPS bersaiz 15.6 inci dan hadir dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 60Hz. Dari segi olahan warna pula, paparan skrin ini hadir dengan sokongan untuk mengolah 105% gamut warna sRGB, menjadikannya sebuah paparan yang sesuai untuk profesional grafik ataupun video yang mementingkan kejituan warna.

Dari segi sambungan pula, paparan Nomad 16 hadir dengan tiga palam, termasuklah dua palam USB-C untuk kegunaan sambungan kuasa dan juga sambungan kepada peranti, dan juga satu palam Mini HDMI untuk sambungan kepada satu lagi peranti.

Butang kuasa paparan skrin ini terletak di bahagian atas yang juga digunakan untuk mengaktifkan menu OSD (On-Screen Display) paparan ini, dan dua butang fizikal di bahagian sisi digunakan untuk menatal menu tersebut, dan boleh digunakan untuk menaikkan dan menurunkan kelantangan audio.

Bercakap mengenai audio, Prism+ Nomad 16 juga hadir dengan pembesar suara terbina. Dalam pengalaman kami menggunakan paparan skrin ini, ia dilihat akan mengambil-alih pementasan audio daripada komputer riba dan akan memainkan audio daripada paparan tersebut.

Untuk memudahkan penggunaan paparan skrin ini, Prism+ Nomad 16 turut ditawarkan bersama-sama dengan beberapa aksesori tambahan, termasuklah adapter kuasa, kabel USB-C dan juga kabel Mini HDMI ke HDMI untuk memudahkan sambungan kepada komputer riba.

Prism+ turut memberi pengguna sebuah aksesori rangka polikarbonat yang boleh digunakan bukan sahaja untuk menutup paparan ini apabila tidak digunakan, tetapi juga untuk menegakkan paparan ini apabila ia digunakan.

Pengguna boleh memilih untuk mendiirikan paparan skrin ini daripada beberapa sudut, dan ia semudah mengubahsuai bahagian penutup tersebut apabila ia dilipat ke belakang.

Sebagai sebuah aksesori paparan sekunder, saya boleh katakan bahawa ia adalah sebuah aksesori yang mudah dibawa kemana-mana khususnya apabila dipadankan bersama-sama dengan sebuah komputer riba nipis dan ringan.

Pengalaman Pengguna

Paparan sekunder Prism+ Nomad 16 ini hadir dengan tujuan untuk memberikan pengguna cara mudah untuk melanjutkan paparan skrin mereka secara mudah dan cepat. Selepas memasang rangka penutup pada paparan skrin ini, pengguna hanya perlu menyambungkan satu kabel USB-C kepada adapter kuasa yang dibekalkan, dan menggunakan kabel USB-C kedua ataupun kabel Mini HDMI untuk menyambungkan paparan ini kepada komputer riba.

Apabila saya menggunakan paparan ini buat kali pertama, ia dilihat mengambil sedikit masa untuk menentukan sambungan manakah yang digunakan untuk disambungkan kepada komputer anda.

Setelah ia selesai, sambungan tersebut akan ditetapkan secara automatik, dan anda kemudiannya boleh mula untuk mengubahsuai lokasi paparan sekunder mengikut citarasa anda.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, butang kuasa paparan Prism+ Nomad 16 ini boleh digunakan untuk tujuan menutup paparan, ataupun untuk mengakses perisian OSD terbina. Butang kelantangan audio juga boleh digunakan untuk mengubahsuai pelbagai jenis tetapan yang terkandung dalam OSD.

Ini termasuklah mod paparan, suhu warna, input peranti dan sebagainya. Bercakap mengenai input peranti, pengguna juga boleh menyambungkan dua peranti kepada paparan Prism+ Nomad 16 ini dan menggunakan menu OSD untuk menukar output peranti.

Satu isu yang mungkin anda akan hadapi dengan ini ialah masalah kabel yang berselirat kerana dari segi sambungan kuasa mahupun peranti, semuanya memerlukan kabel yang mungkin akan menyebabkan permukaan meja yang kelihatan tidak terurus.

Dalam sepanjang beberapa minggu saya berkesempatan menggunakan paparan Nomad 16 ini, saya cukup suka dengan penawarannya sebagai paparan sekunder kepada komputer riba saya. Saiznya yang tidak begitu besar membolehkan saya memuatkannya di ruang meja saya tanpa mengalihkan begitu banyak benda.

Menyambungkan paparan ini kepada peranti-peranti seperti komputer riba dan juga peranti pintar juga merupakan sesuatu yang sangat mudah. Pilihan sokongan untuk kedua-dua USB-C dan juga Mini HDMI yang memberikan pengguna pilihan tentang bagaimanakah mereka mahu menyambungkan peranti mereka ke paparan skrin ini.

Penjagaan kabel juga merupakan sesuatu yang akan perlu dititikberatkan khususnya jika anda mahu menyambungkan dua peranti kepada paparan ini sekaligus. Seperti yang saya katakan tadi, isu kabel berselirat adalah hampir pasti, khususnya apabila sekurang-kurangnya dua kabel akan digunakan untuk menyambungkan peranti ini kepada bekalan kuasa dan juga peranti.

Kualiti Paparan

Sebagai sebuah paparan sekunder, saya menggunakan mod “gaming” untuk kegunaan harian saya kerana kecerahannya yang lebih tinggi berbanding dengan mod-mod lain. Dari segi ketajaman teks dan gambar, saya boleh katakan bahawa tiada masalah apabila saya menggunakan paparan ini untuk membaca artikel ataupun kenyataan akhbar untuk kerja-kerja harian, dan olahan warna pada gambar juga dilihat cerah dan tajam.

Walaupun begitu, satu kekurangan yang hadir pada paparan skrin ini ialah ia hadir dengan sudut pandangan yang agak terhad. Ini tidak menjadi satu masalah apabila hanya anda seorang sahaja yang menggunakannya, tetapi sekiranya paparan ini tidak diletakkan menghadap penglihat, isu cerakan warna agak akan kelihatan secara jelas.

Sebelum ini saya turut mengatakan bahawa paparan sekunder Prism+ Nomad 16 ini turut hadir dengan pembesar suara terbina. Walaupun ciri ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang baik, sayangnya kualiti audio pada pembesar suara tersebut tidak begitu baik, dan kebarangkalian besar anda akan menukar kembali output audio anda ke pembesar suara komputer riba ataupun yang lain.

Menonton video menggunakan paparan Prism+ Nomad 16 ini juga bagi saya adalah pengalaman yang biasa sahaja. Walaupun Prism+ mempromosikan paparan skrin Nomad 16 ini hadir dengan kebolehan mengolah warna 105 peratus gamut warna sRGB, saya dan rakan-rakan sepejabat saya berpendapat bahawa olahan kualiti video melalui paparan skrin ini tidak begitu berbeza dengan paparan skrin IPS ataupun LCD yang lain.

Penutup

Pada harga RM999, Prism+ Nomad 16 ini boleh saya katakan adalah sebuah paparan sekunder yang cukup berbaloi dibeli sekiranya anda memerlukan panel tambahan untuk dibawa kemana-mana bersama untuk anda.

Ia mudah dipasang, dan bagi saya, kekurangan paling ketara pada panel ini ialah ia memerlukan dua kabel dan satu adapter kuasa untuk menggerakkannya, dimana ia bukanlah sebuah isu yang serius, khususnya jika anda memiliki aksesori seperti adapter kuasa GaN yang boleh digunakan untuk menguasakan lebih daripada dua peranti sekaligus.

Pro

  • Mudah dibawa kemana-mana
  • Boleh dipasangkan kepada komputer riba dan juga peranti pintar
  • Mudah digunakan

Kontra

  • Kualiti paparan kurang memuaskan di sudut-sudut pandangan berbeza
  • Kualiti audio pembesar suara yang tidak begitu baik
Komen