Honor 60 dan 60 Pro telah diperkenalkan secara rasmi dengan rekaan fizikal yang serupa. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai sejumlah spesifikasi dalaman yang berbeza. Antaranya seperti versi pro dijana dengan cip Snapdragon 778G+, sementara itu Snapdragon 778G pula digunakan pada model standard.

Dalam perkembangan terkini, rangkaian ini dikemaskini dengan penawaran sebuah lagi model baharu. Melaluinya, Honor 60 SE diumumkan dengan tiga titik jualan utama seperti skrin melengkung 120Hz, kamera utama 64-Megapixel dan bateri dengan pengecasan berwayar mencapai 66W. Di samping itu, ia juga menampilkan rekaan seumpama sebuah peranti Apple dengan susunan kamera utama dalam bentuk segi tiga pada panel belakang.

Maklumat mengenai peranti masih belum didedahkan secara terperinci pada waktu ini. Namun, terdapat sumber mengatakan peranti ini hadir dengan janaan cip MediaTek Dimensity 900, skrin OLED sebesar 6.67-inci dan bateri sebesar 4,300mAh. Ia tersedia dalam tiga pilihan warna seperti Jade Green, Black dan Silver. Harga jualan peranti bermula CNY2,199 (~RM1,445) untuk model asas, sementara itu model dengan storan 256GB pula berharga CNY2,499 (~RM1,642).
Sumber : Honor China