Cari @ Amanz

Oppo Find N adalah antara peranti dengan skrin boleh-lipat terbaik yang pernah saya gunakan. Rekaan yang cukup praktikal, selesa di tangan, prestasi yang hebat serta memberikan pengalaman penggunaan yang cukup hebat untuk produk generasi pertama seperti ini kepada umum.

Sudah tentu apabila dibandingkan dengan Samsung, Z Fold3 memberikan pengalaman yang lebih baik. Ini kerana perisian yang lebih matang dan berguna, berbanding pada Oppo yang masih terhad.

Terkini ITHome melaporkan yang Oppo telah mendaftar paten untuk sebuah lagi peranti dengan skrin boleh-lipat. Dari lakaran imej yang didedahkan, ia masih lagi kelihatan seperti Find N atau sebuah Z Fold. Membezakannya adalah ia mempunyai dua engsel untuk membenarkan peranti dilipat dua kali.

Agak aneh kedudukan engsel pada peranti ini. Tetapi kami menjangkakan, ia bukannya boleh lipat dua kali secara serentak. Kaedahnya berkemungkinan besar, lipat ke dalam seperti biasa atau pengguna diberi pilihan untuk hanya lipat separuh meletakkan kamera ke dalam skrin.

Skrin utama di dalam kelihatan menggunakan rekaan skrin penuh tanpa kamera swafoto. Tidak pasti jika Oppo akan menggunakan kamera di bawah skrin. Skrin luar pula kelihatan ada dua skrin, satu seperti biasa yang kita lihat sekarang dan satu lagi mungkin panel kawalan khas. Rekaan juga dilihat rata di sisi mengikut trend rekaan sekarang.

Adakah ini Oppo Find N kedua? Masih tiada butiran yang didedahkan buat masa ini. Seperti biasa, paten tidak semestinya akan menjadi realiti dan ia boleh terus diarkibkan dan dilupakan. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd