Cari @ Amanz

Dalam dunia perubatan, kecederaan serius seperti saraf tunjang yang terputus tidak boleh dipulihkan. Inilah yang berlaku kepada Michel Roccati selepas beliau terlibat dalam kemalangan motosikal lima tahun lalu yang mengakibatkan kaki beliau lumpuh. Tetapi teknologi implan yang dibangunkan saintis Switzerland berjaya mengembalikan kawalan kaki kepada beliau.

Implan elektrik disambungkan diletakkan di atas saraf tunjang yang menghantar impul untuk menggerakkan otot kaki dan badan untuk berjalan. Penghantaran impul dikawal menggunakan perisian sebuah tablet. Sistem implan elektrik ini dibangunkan oleh Prof Grégoire Courtine dari École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) dan Prof Jocelyne Bloch dari Hospital Universiti Lousanne.

Ini ialah kejayaan pertama pergerakan otot berjaya dikembalikan kepada mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang yang terputus sepenuhnya. Pada waktu ini sembilan pesakit sudah menerima implan yang membolehkan kembali berdiri untuk berjalan dengan bantuan tongkat beroda. Salah seorang pesakit kembali dapat mengawal bahagian bawah tubuh sehingga mampu melakukan hubungan kelamin untuk mendapatkan zuriat dengan isteri.

Menurut penyelidik sistem implan masih belum mampu mengembalikan kawalan kaki sepenuhnya sehingga pesakit lumpuh boleh berjalan tanpa bantuan tongkat. Tetapi ia dapat membantu untuk meningkat kualiti hidup kerana pesakit boleh bergerak dan melakukan aktiviti tanpa bantuan sepenuh masa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd