Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy S22 Ultra – Galaxy S Dengan DNA Galaxy Note
February 9, 2022 Effi Saharudin

Filem sekuel yang terbaik dalam sejarah perfileman mungkin ialah Star War The Return of The Jedi. Pahlawan Jedi yang hampir pupus dihambat Galactic Empire kembali untuk membalas dendam. Samsung Galaxy S22 Ultra pada hemat saya ialah seperti RoTJ kerana walaupun menggunakan nama Galaxy S, ia sebenarnya adalah keluarga Galaxy Note yang kembali selepas dihentikan bagi memberi ruang kepada siri Galaxy Z.

Maafkan jika saya kedengaran seperti seorang peminat K-Pop yang teruja lebih dengan Galaxy S22 Ultra. Hakikatnya status saya sebagai peminat tegar siri Galaxy Note bukanlah rahsia di kalangan pembaca Amanz. Tetapi adakah kembalinya Galaxy Note tahun ini sama seperti Luke Skywalker kembali dalam RoTJ ataupun hanya akan menimbulkan kekecewaan seperti The Last Jedi? Ini ialah pandangan pertama untuk Samsung Galaxy S22 Ultra.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S22 Ultra
Skrin6.8″ Dynamic AMOLED 2X
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8/12GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto40 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5099 (8/128GB)
RM 5499 (12/256GB)
RM 5899 (12/512GB)

Rekaan Galaxy S22 Ultra adalah Galaxy Note20 Ultra yang dilancarkan pada tahun 2020. Tetapi skrin adalah sedikit lebih kecil kerana hanya sebesar 6.8″ namun masih lagi dari keluarga Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Skrin juga mengekalkan mod segar semula adaptif yang berubah mengikut aplikasi bagi menjimatkan bateri. Menurut Samsung skrin tahun ini lebih baik kerana mampu mencapai keterangan puncak 1750 nits yang sekitar 15% lebih terang berbanding skrin S21 Ultra.

Apa yang boleh saya katakan mengenai skrin? Cantik, tajam, terang dan pantas. Setakat ini tidak ada lagi skrin peranti mercu Samsung yang mengecewakan dan Galaxy S22 Ultra meneruskan tradisi dengan jayanya.

Skrin masih lagi melengkung pada bahagian sisi tetapi tidak terlalu melampau seperti pada Galaxy Note20 Ultra. Oleh itu isu imej melimpah keluar pada sisi skrin tidak berlalu lagi. Dengan skrin yang kini lebih berkotak, ia juga kelihatan lebih besar berbanding Galaxy S21 Ultra.

Sebuah pengimbas cap jari optikal turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung tidak mengatakan sensor diubah maka bolehlah diagak bahawa sensor yang digunakan sebelum ini dikekalkan.

Yang mengujakan bagi saya ialah kembalinya stylus S Pen dengan tempat simpanan terbina dalam tubuh. Teknologi Wacom ditambah baik dengan masa pendam kini berkurangan ke 2.8ms berbanding 9ms. Dengan ini proses melakar pada skrin lebih lancar seakan menggunakan pena fizikal di atas permukaan kertas.

Kandungan HDR disokong masih lagi sehingga HDR10+ sahaja. Ini ialah format yang dibangunkan sendiri oleh Samsung bagi memaparkan kandungan HDR dengan data meta yang dinamik mengikut setiap babak. Bagi mereka yang inginkan sokongan Dolby Vision pada peranti seperti yang disokong iPhone dan Xiaomi, teruskan penantian kerana kebarangkalian ia disokong siri Galaxy adalah hampir mustahil pada waktu ini.

Skrin mantap dipadankan dengan kerangka Armor Aluminium yang teguh. Teknologi yang diperkenalkan menerusi siri Z Fold3 tahun lalu kini digunakan pula pada Galaxy S22 Ultra bagi meningkatkan tahap ketahanan dari hentakan. Peranti adalah lebih tebal dan terasa lebih berat berbanding Note20 Ultra.

Walaupun tubuh agak lebar, tebal dan berat peranti masih selesa di dalam telapak tangan. Ketebalannya tidak begitu terasa kerana bahagian sisi yang dibulatkan. Pada sisi kanan diletakkan butang laras audio dan kuasa.

Isu besar tahun lalu adalah bonggol kamera Contour Cut Design yang menyebabkan peranti sukar diletakkan rata di atas permukaan meja. Tahun ini dengan tubuh yang lebih tebal, bonggol kamera yang besar dan tinggi tidak lagi wujud. Tetapi isu lain pula muncul menggantikan isu lama.

Ketiga-tiga lensa kamera utama yang besar kini tidak lagi dilindungi dalam bonggol kamera yang diperbuat daripada logam. Oleh itu ia lebih terdedah kepada kerosakan jika peranti terjatuh atau diletakkan di atas meja tanpa sebarang perlindungan. Tetapi sekurang-kurangnya sekarang peranti tidak terjungkat-jungkit lagi serta terasa lebih seimbang tanpa bahagian atas terlalu berat.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong dua SIM bersaiz nano tanpa sokongan kad mikro SD. Selepas sudah setahun, saya sudah boleh menerima hakikat seperti bicu audio 3.5mm, sokongan kad mikro SD juga sudah dihentikan oleh Samsung. Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 128, 256 dan 512 GB tetapi dari pengalaman peribadi storan 256GB kini boleh digunakan dalam masa dua tahun. Jadi pilihan storan yang serasi dengan keperluan peribadi anda perlu dilakukan semasa peranti dibeli.

Dari segi spesifikasi Galaxy S22 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Selepas bertahun-tahun diminta oleh pengguna di Malaysia, Samsung akur dan tidak menawarkan versi Exynos 2200. Ironi di sini ialah setelah sekian lama pengguna Malaysia meminta cip Snapdragon, tahun dimana cip Exynos dengan GPU yang dinantikan ramai Samsung berubah haluan.

Cip untuk Android paling berkuasa dipadankan dengan 8/12 GB RAM dan storan sehingga 512GB. Tiada lagi varian dengan 16GB. Bagi mereka yang merasakan penawaran RAM mungkin tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah 4GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan dengan mengambil ruang storan peranti.

Tiada perubahan pada saiz sensor kamera tahun ini. Sensor 108MP dipadankan dengan lensa sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar, 10 MP dengan lensa telefoto optikal 3X dan 10MP lagi dengan lensa telefoto 10X optikal periskop yang menyokong zum sehingga 100X Space Zoom. Kamera swafoto juga dikekalkan dengan sensor 40MP. Saiz sensor mungkin kelihatan sama tetapi sebenarnya ditambah baik dengan penggunaan sensor ISOCELL yang dilengkapi saiz sensor lebih besar bagi meningkatkan prestasi fotografi waktu malam.

Seterusnya kita bergerak pula kepada bateri sebesar 5000 mAh yang adalah sesuatu yang baru bagi peranti yang menggunakan rekaan Galaxy Note. Selama ini saiz bateri dihadkan kerana tidak ruang untuk bateri lebih besar. Misteri mengapa Galaxy S22 Ultra lebih tebal berbanding Galaxy Note20 Ultra dan Galaxy S21 Ultra terjawab.

Tidak berakhir di sini ialah peranti menyokong pengecasan 45W yang pantas. Masih belum sepantas yang ditawarkan Oppo atau Xiaomi tetapi ia masih lebih baik berbandingan hanya 25W tahun lalu. Masih tidak pengecas disertakan dengan setiap pembelian dan aksesori tambahan perlu dibeli.

Pengecasan nirwayar ialah sehingga 15W dengan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare pula juga kembali. Terdapat usaha dari Samsung untuk menawarkan pengecasan lebih pantas tetapi hakikatnya ia masih tidak setanding yang ditawarkan oleh Oppo dan Xiaomi.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kesemua sistem GPS di muka bumi dan ketahanan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.

Penggunaan Dan Perisian

Android 12 dipadankan dengan pelancar One UI 4.1. Tidak ada banyak misteri mengenai antaramuka ini kerana ia sama seperti yang diterima Galaxy S21 Ultra dan Z Fold3 sejak Disember tahun lau. Tiada perubahan drastik dilakukan kerana One UI 4.1 lebih menumpukan kepada penambahan ciri dan bukannya olahan semula antaramuka sistem operasi.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis dan kemas. Apa yang dapat dilihat pada kesemua pelancar pihak ketiga pengeluar Android sejak dua tahun kebelakangan ini ialah rekaan yang semakin mirip kepada Android Asli. Ini dilakukan bagi mempercepatkan kemas kini diberikan kepada peranti. Dapat dilihat tahun lalu Samsung sangat pantas memberikan kemas kini Android dan tampalan sekuriti.

Bermula tahun mereka maju setapak lagi kerana Samsung akan memberikan kemas kini versi Android sehingga empat tahun dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun buat pertamanya kalinya dalam sejarah. Apa yang dilakukan oleh Samsung adalah lebih baik dari Google pada peranti Pixel yang hanya disokong sehingga tiga versi Android dan tampalan sekuriti sehingga empat tahun.

Dengan peranti semakin mahal, sokongan kemas kini yang setanding yang diberikan Apple adalah amat perlu pada Android. Selepas bertahun menanti, tidak disangka Samsung yang menjadi syarikat pengeluar Android pertama yang menawarkannya.

Ciri lain yang menarik yang hadir dengan One UI 4.1 ialah kustomasi yang lebih baik untuk tema dan ikon peranti. Berdasarkan imej latar belakang yang digunakan, peranti akan memberikan saranan warna yang digunakan pada ikon aplikasi dan warna tema antaramuka. Pilihan widget juga ditambah baik supaya lebih berguna.

Berdasarkan pengalaman sekitar sejam ketika sesi prebiu dengan peranti pagi tadi, bolehlah saya katakan peranti terasa pantas di dalam tangan dengan ciri yang sama dengan telahpun saya nikmati pada Galaxy S21 Ultra. Pengoptimasian yang dilakukan memuaskan dengan tiada isu kadar segar semula yang kurang konsisten misalnya. Kami tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang ujian penanda aras bagi melihat peningkatan prestasi tetapi sebelum ini Quacomm berkata peningkatan pada kemampuan GPU dan NPU yang tinggi dapat dinikmati pada cip Snapdragon8 Gen 1. Kebenaran hanya akan diketahui apabila peranti diulas kelak.

S Pen Kembali

Saya memberikan ruang khas untuk bercakap mengenai S Pen kerana ia adalah ciri yang secara peribadi amat saya nantikan. Stylus kali ini kembali pendek kerana perlu disimpan di dalam tubuh peranti. Mekanisme spring yang wujud sejak Galaxy Note 5 dikembalikan untuk memudahkan ia dikeluarkan dari tempat simpanan.

Kembali kepada saiz lebih pendek menyebabkan S Pen terasa sedikit canggung untuk digunakan. Ia kembali boleh ditambat secara bluetooth yang membolehkan ia digunakan untuk mengawal kamera dan aplikasi. Pengesanan automatik AirPlay juga kembali. Seperti yang telah saya katakan beberapa perenggan yang lalu, Galaxy S22 Ultra sebenarnya adalah sebuah Galaxy Note yang dijenamakan semula sahaja.

Kesemua ciri menarik S Pen yang diperkenalkan pada peranti terdahulu kembali. Tahap pengesanan mata pena masih lagi sehingga 4200 tahap tekanan tetapi kini terasa lebih pantas serta jitu kerana masa pendam bawah 3 ms. Memang dapat dirasakan kepantasannya kali ini.

Perubahan pada perisian pula ialah kemampuan mengesan tulisan tangan untuk diubah kepada teks dengan sokongan lebih 80 bahasa dan aplikasi Note yang boleh dikongsi dengan kawan secara serentak diperkenalkan tahun ini.

Bagi yang tertanya-tanya, skrin Galaxy S22 Ultra boleh menyokong S Pen S21 Ultra, S Pen siri Note terdahulu, S Pen Fold dan S Pen Pro yang dipasarkan sebelum ini. Satu aksesori yang berjaya menarik perhatian saya ialah S Pen dalam bentuk pen LAMY yang matanya boleh bertukar dari mara pen dakwat kepada mata S Pen dengan hanya memutarkan tubuh. Pena hibrid ini menarik kerana memang kelihatan seperti pena rekaan biasa.

Kesimpulan

Pengalaman saya dengan Galaxy S22 Ultra adalah terlalu pendek untuk memberikan kata putus sama ada siri Note secara rasmi kembali seperti dahulu. Ia sekadar memberikan beberapa petanda positif bahawa S22 Ultra tidak mengecewakan dari aspek skrin, prestasi, perisian dan kemampuan kamera.

Tetapi saya boleh katakan saya cukup menyukai apa yang dapat saya lihat dan sentuh dalam tempoh yang pendek pagi tadi. Kini saya hanya perlu menantikan peranti untuk diulas sahaja untuk melihat sama ada Galaxy S22 Ultra layak menjadi peranti pengganti kepada Galaxy Note20 Ultra yang ramai merasakan adalah Note terbaik pernah dihasilkan oleh Samsung.

Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S22 Ultra akan dibuka esok dengan harga jualan RM5099 untuk 8/128GB, RM5499 untuk 12/256GB dan RM5899 untuk 12/512GB.

Pro

  • Rekaan klasik Galaxy Note kembali tetapi tanpa bonggol besar.
  • Snapdragon 8 Gen 1 digunakan mengikut permintaan ramai.
  • Peranti masih selesa walaupun tubuh lebih besar dan tebal.
  • S Pen kembali dengan tempat simpanan terbina.
  • Pengecasan pantas sehingga 45W disokong.
  • Sokongan Android 4 versi dan sekuriti lima tahun.

Kontra

  • Lensa kamera lebih terdedah kepada kerosakan.
  • Slot mikro SD tidak dikembalikan.
  • Pengecas tidak disertakan dan masih sepantas pesaing.

Komen