Cari @ Amanz

Dua tahun lepas, Microsoft mula melancarkan aplikasi keselamatan untuk Android iaitu Microsoft Defender ATP untuk memantau aplikasi, laman web dan aplikasi hasad yang mungkin wujud di dalam peranti. Akan tetapi, penggunaannya terhad kepada pengguna perusahaan sahaja.

Baru-baru ini, Microsoft dilihat sedang sibuk membangunkan Microsoft Defender baharu bukan sahaja untuk Windows tetapi turut juga untuk pengguna Android – Microsoft Defender Endpoint.

Untuk Android, ia dilihat masih lagi satu aplikasi keselamatan asas sahaja. Memandangkan gedung aplikasi Play Store sudah pun mempunyai Play Protect untuk melindungi pengguna dan turut mempunyai beberapa ciri keselamatan yang sedia terbina dalam kod sistem operasi Android.

Apa yang menarik dengan aplikasi keselamatan serba baharu ini adalah, ia bukan sahaja boleh memantau peranti yang memasang aplikasi ini. Tetapi turut boleh memantau semua peranti pengguna yang menggunakan akaun Microsoft yang sama.

Pengguna turut boleh pantau fail-fail yang dikesan dalam masa 24 jam, status keselamatan peranti dan banyak lagi. Untuk Windows, ia dilihat masih bukan pengganti kepada Windows Security tetapi lebih kepada aplikasi tambahan dengan antaramuka tersendiri yang lebih kemas dan cantik.

Kedua-dua aplikasi untuk Android dan Windows ini masih lagi dalam ujian dan belum lagi hadir dalam versi stabil. Walaupun pengguna sudah boleh muat turun daripada Play Store dan sudah pun tersenarai di Microsoft Store, buat masa ini hanya akaun dengan tetapan negara Amerika Syarikat sahaja boleh menggunakan aplikasi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd