Sejak beberapa bulan lalu, Redmi K50 merupakan antara peranti terkini yang menjadi topik perbualan utama kebanyakan pihak. Peranti ini juga telah disahkan bakal tiba sekitar bulan Februari ini dan tarikh rasmi akhirnya telah dikongsi menerusi perkongsian terkini di Weibo.

Dikenali sebagai Redmi K50 Gaming Edition, ia akan dilancarkan secara rasminya pada 16 Februari ini. Redmi menjanjikan peningkatan keseluruhan lebih baik berbanding sebelum ini. Ini termasuklah prestasi, konfigurasi storan dan sistem penyejukan yang lebih baik. Sebagai tambahan, rekaan fizikal juga telah dikongsi menerusi poster yang sama.
Ia menunjukkan panel belakang peranti menampilkan kemasan yang sama seakan generasi sebelum ini. Tetapi, kemasan warna nampak lebih menarik bersama sokongan lampu RGB dan lensa flash yang berbentuk petir. Perbezaan ketara turut terletak pada modul kamera yang kini berbentuk segi empat tepat. Di samping itu, butang bahu fizikal turut dikekalkan di sini bagi memberi kawalan lebih jitu sewaktu peranti digunakan untuk bermain permua.

Tiada sebarang perkongsian lanjut mengenai spesifikasi, tetapi spekulasi awal mendakwa peranti akan dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen1. Bukan itu sahaja, versi standard untuk peranti ini juga dijangka akan dilancarkan pada hari yang sama kelak. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan.
Sumber : Redmi Weibo