Carian
Samsung Galaxy S22 Dan S22+ Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 1 – Harga Bermula RM3499
February 9, 2022 Effi Saharudin

Selepas spesifikasi peranti tertiris sepenuhnya sejak minggu lalu, hari ini Samsung Galaxy S22 dan Samsung Galaxy S22+ akhirnya dilancarkan secara rasmi. Kedua-dua peranti ini ditawarkan dengan cip Exynos 2200 dan Snapdragon 8 Gen 1 yang cukup berkuasa serta sistem kamera baharu dengan kemampuan mod malam yang dipertingkat berbanding peranti generasi terdahulu.

Di Malaysia Samsung Galaxy S22+ dilengkapi skrin 6.6″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ 120Hz, penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 1, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, kamera utama 50+12+10 MP, kamera hadapan 10MP, dan bateri 4500 mAh dengan pengecasan pantas sehingga 45W.

Seterusnya Samsung Galaxy S22 hadir dengan skrin 6.1″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ 120Hz, penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 1, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, kamera utama 50+12+10 MP, kamera hadapan 10MP, dan bateri 3700 mAh dengan pengecasan 25W sahaja.

Sistem kamera utama pada kedua-dua peranti ini menggabungkan sensor sudut lebar, ultra lebar dan telefoto dengan zum optikal sehingga 3X. Dengan penggunaan sensor generasi baharu, Samsung mengatakan S22 dan S22+ mampu mengambil gambar mod malam yang lebih baik termasuk swafoto.

Buat pertama kalinya juga ciri Auto Framing ditawarkan pada siri Galaxy S dengan ciri ini membolehkan kamera menjejak pergerakan individu secara automatik dan memastikan kesemua individu dalam kumpulan boleh dirakam dalam satu bingkai. Sebelum ini ciri ini ditawarkan pada peranti Galaxy Z Fold3 sahaja.

Ciri lain yang disokong ialah pengecasan secara nirwayar 15W dan pengecasan berbalik peranti lain Wireless PowerShare. Dari segi sokongan rangkaian selular pula peranti menyokong rangkaian 5G Sub 6Ghz. Akhirnya rangkaian yang pantas ini dapat dinikmati kerana baru sahaja dilancarkan di negara kita.

Dari segi rekaan tiada perubahan drastik dilakukan berbanding Galaxy S21 dan Galaxy S21+ tahun lalu cuma panel belakang polikarbonat digantikan dengan panel Gorilla Glass Victus sepenuhnya. Kedua-dua peranti turut hadir dengan kemampuan kalis air IP68.

Dapat juga dilihat bezel peranti pada keempat-empat sisi mempunyai ketebalan yang sama. Skrin masih berlubang untuk kamera swafoto kerana Samsung belum bersedia menawarkan teknologi kamera di sebalik skrin pada siri S22 tahun ini.

Peranti menggunakan sistem operasi Android 12 dengan pelancar One UI 4.1 yang terkini. Bermula dengan siri Galaxy S22, Samsung menawarkan sokongan kemas kini Android sehingga empat versi dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun. Ini menjadikan Samsung satu-satunya pengeluar peranti Android dengan sokongan perisian selama ini.

Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S22 dan Samsung Galaxy S22+ dibuka esok dengan pilihan warna Phantom Black, Phantom White, Green dan Pink Gold manakala harga pula seperti di bawah.

  • Samsung Galaxy S22 – RM3499 (8/128GB)
  • Samsung Galaxy S22 – RM3699 (8/256GB)
  • Samsung Galaxy S22+ – RM4099 (8/128GB)
  • Samsung Galaxy S22+ – RM4299 (8/256GB)
Komen