Samsung Galaxy S22 Ultra Dilancarkan Sebagai Pengganti Siri Galaxy Note – Harga Bermula RM5099

Diterbitkan pada Feb 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain Samsung Galaxy S22 dan Samsung Galaxy S22+, Samsung Galaxy S22 Ultra turut dilancarkan hari ini. Seperti yang sudah diacah sejak seminggu yang lalu, peranti ini meneruskan legasi Galaxy Note kerana menggunakan rekaan tubuh yang berkotak dan juga hadir dengan stylus S Pen secara terbina dalam tubuh peranti.

Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan skrin 6.8″ Dynamic AMOLED 2X QHD+ 120Hz dengan kadar segar semula adaptif. Tahun ini teknologi Vision Booster diperkenalkan bagi menawarkan kualiti visual yang lebih baik serta keterangan puncak skrin mencecah 1750 nits. Skrin juga melengkung berbanding yang ditemukan pada Galaxy S22 dan S22+. Namun itu lengkungan lebih sederhana seperti yang diberikan pada Galaxy S21 Ultra.

Peranti menggunakan cip Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1 bergantung kepada pasaran. Di Malaysia peranti ini telah disahkan menggunakan pemproses Snapdagon yang pastinya menggembirakan mereka yang meminati peranti Samsung. Cip berkuasa dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 512GB di Malaysia. Seperti tahun lalu, sokongan mikro SD tidak lagi diberikan.

Sustem kuad kamera utama pula menggunakan sensor 108MP sudut lebar, 12MP sudut ultra lebar, 10MP telefoto dan 10 MP untuk telefoto tahap sekunder yang mampu zum lebih jauh. Kamera swafoto di hadapan sebesar 40MP yang diletakkan di dalam lubang kamera. Sungguhpun menggunakan nama Ultra, Samsung belum bersedia menggunakan teknologi kamera bawah skrin seperti yang telah dilakukan pada Z Fold3 tahun lalu.

Walaupun di atas kertas tiada perubahan dilakukan pada saiz sensor, jenis sensor sebenarnya telah diubah dengan saiz pixel lebih besar. Pengalaman mengambil gambar mod malam yang lebih baik. dapat dinikmati pada kamera utama dan swafoto.

Seperti pada Galaxy S22 dan Galaxy S22+, ciri Auto Framing ditawarkan pada Galaxy S22 Ultra. Ciri ini membolehkan kamera menjejak pergerakan individu secara automatik dan memastikan kesemua individu dalam kumpulan dirakam dalam satu bingkai. Sebelum ini ciri ini ditawarkan pada peranti Galaxy Z Fold3 sahaja.

Bateri yang digunakan adalah sebesar 5000 mAh dengan sistem pengecasan berwayar pantas 45W, nirwayar 15W dan berbalik Wireless PowerShare. Pengecas perlu dibeli secara berasingan kerana tidak lagi diberikan oleh Samsung dengan setiap pembelian.

Penambahbaikan pada S Pen adalah dalam bentuk pengurangan masa pendam ke 2.8ms yang mendadak dari sekitar 9ms pada Galaxy Note20. Dengan ini lakaran digital pada skrin Galaxy S22 Ultra akan terasa seperti lakaran sebenar menggunakan kertas dan pensel. S Pen juga hadir dengan tambahan bluetooth yang membolehkan ia digunakan sebagai alat kawalan jauh.

Panel kaca Gorilla Glass Victus digunakan pada panel hadapan dan belakang untuk ketahanan hentakan yang tertinggi. Turut hadir ialah dengan kemampuan kalis air IP68 yang suda menjadi standard pada peranti mercu sejak Galaxy S5.

Peranti menggunakan pelancar One UI 4.1 yang berasaskan Android 12. Samsung menjanjikan sokongan versi Android sehingga empat versi dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun pada kesemua peranti siri Galaxy S22 .

Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S22 Ultra dibuka esok dengan pilihan warna Phantom Black, Phantom White, Green dan Burgundy manakala harga pula seperti di bawah.

  • Samsung Galaxy S22 Ultra – RM5099 (8/128GB)
  • Samsung Galaxy S22 Ultra – RM5499 (12/256GB)
  • Samsung Galaxy S22 Ultra – RM5899 (12/512GB)

komen


© Amanz / 2022 Kami