Pepatah Melayu ada mengatakan biar lambat asalkan selamat. Tahun lalu siri Samsung Galaxy Tab S8 tidak muncul menimbulkan tanda tanya sama ada Samsung akan terus menawarkan tablet mercu ke pasaran. Persoalan ini terjawab di acara Unpacked dengan tiba tablet dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 dilancarkan secara serentak.

Kita mulakan dahulu dengan tablet paling mercu Samsung Galaxy Tab S8 Ultra yang dilengkapi skrin 14.6″ SAMOLED WQXGA+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 1, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dengan sokongan kad mikro SD 1TB, kamera utama 13+6 MP, kamera hadapan 12+12 MP dan bateri 11200 mAh yang menyokong pengecasan 45W.

Peranti menyokong stylus S-Pen yang boleh disambung pada sisi tablet, Samsung DeX, dan juga mempunyai sistem audio kuad-speaker lengkap dengan Dolby Atmos. Sistem operasi yang digunakan ialah One UI 4.1 yang berasaskan Android 12 yang terkini. Galaxy Tab S8 Ultra ialah tablet pertama Samsung dengan takuk pada skrin bagi meletakkan dwi-kamera hadapan dengan salah satunya dilengkapi lensa ultra sudut lebar.

Sementara itu Samsung Galaxy Tab S8+ pula mempunyai spesifikasi yang sama cuma dilengkapi skrin 12.4″ SAMOLED WQXGA+ 120Hz, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB dengan sokongan kad mikro SD 1TB, kamera hadapan 12MP dan bateri 10,090 mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 45W. Skrin tanpa takuk tetapi masih hadir dengan sokongan S-Pen dan Dolby Atmos.

Akhir sekali Samsung Galaxy Tab S8 mempunyai spesifikasi yang sama cuma dilengkapi skrin 11″ LTPS TFT WQXGA 120Hz, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB dengan sokongan kad mikro SD 1TB, kamera hadapan 12 dan bateri 8000 mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Skrin juga tanpa takuk tetapi masih hadir dengan sokongan S-Pen dan Dolby Atmos.

Kesemua tablet menggunakan sistem operasi Android 12 dengan pelancar One UI 4.2 dengan sokongan Android sehingga empat versi dan tampalan sekuriti pula sehingga lima tahun. Ciri lain yang disertakan pelbagai kerangka dengan papan kekunci, tempat simpanan S Pen dan juga penutup lutsinar. Pada waktu ini Samsung Malaysia belum mengesahkan bila tablet akan memasuki pasaran tempatan ataupun harga jualannya kelak.