Carian
Triumph Memperlihatkan Prototaip Motosikal Elektrik TE-1
February 10, 2022 Effi Saharudin

Triumph mempunyai nama yang besar dalam dunia motosikal. Motosikal Triumph TR6 Trophy menjadi ikon filem selepas digunakan Steve McQueen dalam filem The Great Escape. Prestasi tinggi dapat dinikmati pemilik Triumph dengan ketahanan lebih baik berbanding motosikal keluaran Amerika Syarikat. Seperti syarikat kereta, Triumph juga dalam proses melakukan perubahan ke penggunaan kuasa elektrik.

Semalam Triumph TE-1 telah diperlihatkan secara rasmi seperti motosikal elektrik prototaip mereka. Triumph TE-1 dihasilkan dengan kerjasama Williams Advanced Engineering, Integral Powertrain Ltd, dan WMG di University of Warwick sebagai usaha untuk membangunkan motosikal prestasi tinggi emisi sifar untuk United Kingdom.

Walaupun ia adalah sebuah motosikal elektrik, TE-1 masih kelihatan seperti motosikal konvensional Triumph Speed Triple 1200. Motosikal dilengkapi bateri berkapasiti 15 kWh dengan motor mampu mengeluarkan output puncak 130 kW (174 kuasa kuda). Dengan kejayaan prototaip dihasilkan, fasa seterusnya ialah melakukan ujian di dunia sebenar bagi melihat prestasinya.

Triumph agak terlambat memasuki arena motosikal elektrik. Tetapi dengan sambutan untuk Harley Davidson LiveWire ONE adalah mengecewakan, mungkin teknologi perlu dimatangkan lagi untuk menarik peminat motosikal berpindah ke kuasa elektrik. Cabaran adalah dalam bentuk jarak perjalanan yang masih terlalu pendek dan masih terlalu berat.

Komen