Starlink ialah perkhidmatan satelit internet daripada syarikat SpaceX yang mempunyai pelan untuk memberi dunia sambungan internet dari angkasa lepas tanpa memerlukan begitu banyak pelaburan pembinaan infrastruktur.
Syarikat tersebut baru-baru ini telah melancarkan 49 satelit sambungan internet baru ke orbit bumi, tetapi tidak lama selepas itu, ribut geomagnetk matahari yang merentasi angkasa dan sampai ke atmosfera bumi telah menyebabkan kerosakan kritikal kepada 40 daripada satelit-satelit tersebut, menyebabkannya tidak boleh digunakan lagi.

SpaceX mengatakan bahawa ribut solar ini menyebabkan ketumpatan atmosfera menjadi lebih tinggi, disamping radiasi geomagnetik yang menyebabkan kelengkapan dalam satelit-satelit tersebut tidak boleh digunakan lagi.
Laporan Reuters mengatakan bahawa ribut solar tersebut dikatakan lebih teruk daripada apa yang dijangka, dan juga kemungkinan bahawa pihak SpaceX tersilap dalam pengiraan mereka apabila mereka menguji ketahanan terhadap ribut geomagnetik ini.
SpaceX dijangka akan perlu membuat kiraan semula untuk satelit-satelit mereka untuk memastikan bahawa ia tidak lagi terkesan akibat ribut solar ini, dimana ia dijangka akan sedikit sebanyak menyebabkan penundaan dari segi penawaran perkhidmatan internet Starlink tersebut untuk masa terdekat ini.
Sumber: Reuters