Cari @ Amanz

Acara pelancaran hari ini turut memperlihatkan pengenalan Redmi Note 11 untuk pasaran tempatan. Antara titik jualan utama pada peranti ini adalah skrin AMOLED 90Hz, cip Snapdragon 680 dan kamera utama dengan sensor 50MP. Untuk makluman semua, ini juga adalah cip yang sama kita boleh temui pada Realme 9i sebelum ini.

Bagi yang berminat, Redmi Note 11 dijual pada harga bermula RM749 (4GB/128GB) dan RM799 (6GB/128GB) dengan beberapa pilihan warna seperti Graphite Gray, Twilight Blue serta Star Blue. Setiap pembelian didatangkan dengan hadiah menarik percuma bernilai RM139 Sesi pra-tempah dibuka bermula esok, 11 Februari 2022 menerusi beberapa saluran berbeza seperti Lazada, Shopee dan pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia.

Redmi Note 11 dilengkapi skrin 6.43-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Di samping cip Snapdragon 680, ia juga dipadankan dengan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman 128GB (UFS 2.2). Di samping itu, bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan berwayar dengan kuasa output 33W turut disertakan.

Sistem kuad-kamera digunakan dengan tetapan 50MP (utama) + 8MP (Ultra-lebar) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman). Manakala, kamera swafoto adalah sebesar 13MP. Lain-lain spesifikasi yang menyokong peranti termasuklah pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari sisi, NFC, IR Blaster dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd