Cari @ Amanz

Pengenalan siri OnePlus Nord menunjukkan bermulanya era peranti mampu milik buat jenama ini. Ianya bermula dengan OnePlus Nord, kemudian diikuti dengan beberapa lagi model lain seperti OnePlus Nord 2, OnePlus Nord 2 PAC-MAN Edition, OnePlus Nord CE 5G dan sebagainya.

Baru-baru ini, kita telah mendengar mengenai kewujudan OnePlus Nord CE2 5G. Tetapi sayangnya, tiada sebarang perkongsian maklumat mengenainya baik dari segi spesifikasi mahupun rekaan peranti. Namun begitu, kini OnePlus telah berkongsi secara terbuka mengenai tarikh pelancaran rasminya yang bakal berlangsung di India pada 17 Februari ini.

Perkara ini didedahkan oleh pihak OnePlus menerusi satu video pendek di Twitter, tetapi tiada sebarang informasi tambahan berkaitan spesifikasi yang dikongsi setakat ini. Sungguhpun begitu, video turut sedikit sebanyak memberi gambaran kasar untuk rekaan fizikalnya yang lengkap dengan panel hadapan berlubang dan sistem kuad-kamera di belakang.

Tetapi, ia sekadar spekulasi awal semata-mata. Seperti biasa, kita boleh menjangkakan lebih banyak informasi yang akan didedahkan dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : OnePlus India

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd