Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy S22 Dan S22+ – Serupa Tapi Tak Sama
February 10, 2022 Effi Saharudin

Samsung Galaxy S22 dan Samsung Galaxy S22+ dilancarkan semalam sebagai peranti kemas kini kepada Galaxy S21 dan Galaxy S21+. Sekilas pantas peranti mempunyai rekaan amat serupa kerana Samsung meminjam falsafah Apple dimana hanya spesifikasi sahaja ditambahbaik dengan rekaan dikitar semula jika ia tidak rosak.

Tetapi persepsi tidak semestinya tepat kerana beberapa perubahan yang penting telah dilakukan oleh Samsung pada Galaxy S22 tahun ini bagi menarik perhatian pengguna yang mencari peranti dengan nilai jangka panjang yang terbaik.

Samsung Galaxy S22/S22+
Skrin6.8/6.1 ” Dynamic AMOLED 2X
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 UFS 3.1
Kamera Utama50+12+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, Zum Optikal 3X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto10 Megapixel f/2.2
Bateri4500/3700 mAh
Pengecasan berwayar 45W/25W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanSamsung Galaxy S22
bermula RM3499

Samsung Galaxy S22+
bermula RM4099

Rekaan

Serupa tapi tak sama ialah tema yang akan berulang-ulang sepanjang artikel ini. Rupa mungkin sama tetapi skrin pada S22 (6.1″) dan S22+ (6.6″) adalah 0.1″ lebih kecil berbanding model tahun lalu. Pemambahbaikan turut diberikan kepada saiz bezel yang lebih nipis serta lebih sekata pada keempat-empat sisi. Maka rekaan peranti tahun ini lebih estetik bagi mereka yang mendambakan simetri.

Teknologi Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120HZ adaptif dikekalkan cuma tahun ini Vision Booster diperkenalkan. Menurut Samsung Vision Booster bole meningkatkan keterangan skrin yang gelap bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih jelas walaupun di bawah cahaya matahari yang terik.

Penggunaan skrin yang rata turut dikekalkan cuma lapisan Gorilla Glass Victus+ digunakan dengan penambahan tahap ketahanan. Siri S22 menjadi yang pertama di dunia menggunakan panel kaca tahan lasak ini di pasaran dunia. Kaca tahan lasak yang sama digunakan juga pada panel belakang menyelesaikan rungutan orang ramai yang merasakan panel polikarbonat tidak sesuai digunaka pada sebuah peranti mercu.

Hasilnya ialah peranti yang terasa lebih berat dan memang terasa lebih premium di dalam tangan. Pada S22 versi putih misalnya, peranti terasa seperti sebuah bongkah marmar yang sejuk semasa digunakan. Panel belakang yang sama juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah kerana kemasannya tidak licin.

Kemampuan biometri pula ialah pengimbas cap jar ultrasonik terbina di bawah skrin. Kedudukan sensor adalah cukup ergonomik untuk melakukan proses nyahkunci. Dengan pandemik sudah memasuki tahun ketiga, sistem pengimbas cap jari adalah lebih berguna berbanding imbasan wajah yang masih lagi disertakan sekiranya diperlukan.

Tiada sokongan stylus bagi mereka yang tertanya-tanya kerana ciri premium ini hanya ditawarkan pada model Ultra sahaja oleh pihak Samsung. Sokongan HDR10+ masih digunakan dengan Dolby Vision pula tidak diberi. Besar kemungkinan ini tidak akan berlaku kerana format HDR10+ dibangunkan oleh Samsung bagi mengelakkan pembayaran royalti kepada Dolby.

Paparan skrin adalah tajam dengan keterangan kali ini mencecah 1300 nits. Ianya juga cukup responsif tanpa isu tersekat-sekat dapat kami lihat semasa menggunakannya. Warna yang dipaparkan juga kelihatan bermaya dan hidup. Panel Samsung memang tidak perlu dipersoalkan kualitinya maka tahun ini seperti tahun terdahulu ia adalah antara yang terbaik di pasaran.

Bagi melindungi skrin, tubuh peranti diperbuat daripada bahan aluminium yang tahan lasak. Dari gambar pengolokan kelihatan seoalah-olah peranti mempunyai sisi yang rata. Tetapi ini hanyalah sekadar ilusi optik kerana bingkai masih dibulatkan untuk ia selesa dalam genggaman tangan.

Penggunaan bahan logam diteruskan pada butang laras audio dan kuasa yang diletakkan pada sisi kanan peranti. Talam SIM, kekisi audio dan port pengecas USB-C diletakkan di bahagian bawa peranti. Panel kaca di belakang telah dikembalikan tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai sokongan kad mikro SD. Pastikan pembelian storan yang bersesuaian dilakukan kerana inilah saiz yang perlu digunakan sepanjang hayat peranti.

Rekaan Contour Cut Design untuk bonggol kamera diteruskan lebih nipis. Peranti masih tidak dapat diletakkan rata sepenuhnya pada permukaan meja namun tidak seteruk dahulu. Kami cukup menyukai rekaan ini kerana bukan sahaja cantik tetapi memberikan pelindungan kepada sistem tri-kamera 50+12+10 Megapixel yang disertakan.

Lensa sentiasa dilindungi oleh bonggol kamera yang diperbuat daripada logam. Kami merasakan rekaan Contour Cut ini lebih baik berbanding yang digunakan pada S22 Ultra dengan lima bonggol yang agak tinggi di panel belakangnya.

Bercakap mengenai kamera, kamera swafoto 10 Megapixel diletakkan dalam lubang kamera Infinity-O betul-betul d tengah-tengah skrin. Teknologi kamera bawah skrin Z Fold3 masih belum sedia dipinjamkan kepada peranti siri Galaxy S22 tahun ini. Tindakan yang kami sokong sepenuhnya kerana pada Z Fold3 ia bukan sahaja masih ketara tetapi menyebabkan gambar swafoto yang diambil kurang memuaskan.

Peranti amat sedap di dalam tangan kerana tiada bucu atau sisi tajam. Saiznya juga masih membolehkan peranti dengan selesa digunakan sebelah tangan. Beratnya juga seimbang walaupun mempunyai bonggol kamera yang agak besar. Bonus lain yang diberikan Samsung ialah kemampuan kalis air sehingga IP68.

Spesifikasi

Di Malaysia kedua-dua peranti dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 1. Tekanan yang diberikan oleh pengguna Malaysia akhirnya berjaya dan berdasarkan komen yang ditinggalkan pembaca kami melihat ia adalah tindakan yang betul dari Samsung. Ini ialah cip mercu paling berkuasa untuk peranti Android pada tahun 2022. Oleh itu S22 dan S22+ tidak akan mempunyai sebarang isu menjalankan pelbagai jenis aplikasi.

Ini kemudiannya dipadankan pula dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Ini bukanlah saiz RAM yang paling besar tetapi menerusi ciri RAM Plus pengguna boleh menambah 4GB RAM secara maya sekiranya diperlukan.

Bateri pula adalah 4500 mAh untuk S22+ dan 3700 mAh untuk S22. Kapasiti bateri pada kedua-dua peranti adalah lebih kecil berbanding tahun lalu. Perbezaan terletak pada sistem pengecasan sehingga 45W disokong pada S22+ manakala S22 masih sekadar 25W. Sistem pengecasan yang diberikan Samsung masih tidak sepantas yang ditawarkan oleh Oppo dan Xiaomi. Tujuan ini dilakukan mungkin kerana Samsung tidak menggunakan teknologi dwi-bateri dan ingin memanjangkan hayat bateri.

Sokongan pengecasan nirwayar ialah sehingga 15W dan telefon boleh mengecas peranti lain menerusi ciri Wireless PowerShare. Pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian kerana Samsung sekadar membekalkan kabel USB-C ke USB-C sebagai usaha untuk mengurangkan pencemaran plastik.

Sistem tri-kamera turut diberikan perubahan mendadak 50+12+10 MP berbanding 12+64+12MP tahun lalu. Sensor yang lebih besar diberikan pada lensa sudut lebar untuk memberikan prestasi mod malam yang lebih baik serta hadir dengan sistem OIS yang boleh mengurangkan gegaran pada amplitu lebih tinggi.

Lensa telefoto kini sekadar dipadankan dengan sensor 10MP tetapi boleh melalukan zum optikal sehingga 3X dan hadir juga dengan OIS. Akhir sekali lensa ultra sudut lebar dipadankan dengan sensor 12MP seperti tahun lalu. Samsung melakukan anjakan paradigma tentang bagaimana sistem kamera berfungsi tahun ini.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kesemua sistem GPS di muka bumi dan ketahanan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.

Penggunaan Dan Perisian

Android 12 dipadankan dengan pelancar One UI 4.1. Ini ialah sistem operasi yang telah digunakan oleh siri S21, Z Fold3 dan Z Flip3 sejak Disember tahun lalu. Satu perubahan positif mengenai Samsung ialah mereka tidak lagi menangguh pemberian versi Android baharu sehingga tahun baharu semata-mata untuk menawarkannya pada peranti mercu terkini mereka.

One UI 4.1 ialah pelancar dengan antaramuka yang ringkas, ergonomik dan kemas. Malahan trend semasa oleh semua pengeluar peranti Android ialah untuk mengekalkan sebanyak mungkin elemen Android asal pada pelancar mereka supaya proses mengemaskini boleh diberikan dengan lebih pantas menerusi Project Treble. Hasilnya sejak dua tahun kebelakangan ini Samsung menjadi antara pengeluar yang paling pantas mengemaskini peranti yang dikeluarkan.

Lagi berita baik tahun ini ialah Samsung menawarkan sokongan empat generasi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun pada siri Galaxy S22. Dengan peranti semakin mahal, akhirnya wujud peranti Android yang boleh digunakan sehingga lima tahun tanpa kerisauan kerentanan sekuriti membuatkan ia tidak lagi selamat digunakan.

Ciri lain yang menarik yang hadir dengan One UI 4.1 ialah kustomasi yang lebih baik untuk tema dan ikon peranti. Berdasarkan imej latar belakang yang digunakan, peranti akan memberikan saranan warna yang digunakan pada ikon aplikasi dan warna tema antaramuka. Pilihan widget juga ditambah baik supaya lebih berguna.

Walaupun hanya 8GB RAM diberikan pada model yang diuji semalam, kami tidak dapat melihat perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan S22 Ultra yang dilengkapi 12GB RAM. Semuanya lancar dan terasa pantas dibantu oleh skrin 120Hz yang digunakan. Ujian yang lebih mencabar akan kami berikan apabila peranti diulas kelak.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S22 dan S22+ mungkin tidak mengalami perubahan fizikal yang ketara tetapi sebenarnya banyak perubahan dilakukan pada komponen bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Kembalinya panel kaca tahan lasak di belakang serta penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 1 pastinya menerima sambutan positif dari mereka yang sudah lama memaksa Samsung untuk menggunakan cip Qualcomm di Malaysia.

Sistem kamera yang lebih ampuh turut disertakan bersama dengan sistem pengecasan 45W pada S22+. Dengan Samsung Galaxy S21 FE baru sahaja dilancarkan, ada pertanyaan dari pembaca sama ada S22 masih pilihan yang lebih bijak. Ini akan cuba kami jawab selepas peranti diuji kelak.

Di Malaysia jualan telahpun dibuka hari ini Samsung Galaxy S22 dijual pada harga bermula RM3499 dan Samsung Galaxy S22+ pula dijual pada harga bermula RM4099.

Pro

  • Rekaan amat kemas terasa lebih premium.
  • Tiada lagi panel polikarbonat.
  • Cip Snapdragon 8 Gen 1 yang diminta pengguna diberikan.
  • Sistem kamera dipertingkat.
  • Sokongan perisian yang terbaik setakat ini.
  • Pengecasan lebih pantas pada S22+.

Kontra

  • Pengecas masih dijual berasingan.
  • Tiada slot kad mikro SD.
  • Kapasiti bateri lebih kecil tahun ini.

Komen