Rangkaian jam tangan pintar Garmin kini menerima kemas kini baharu lagi menerusi pengenalan siri Garmin Instint 2. Terdapat dua model yang telah diumumkan yang mana terdiri dengan Garmin Instinct 2 Solar dan Instinct 2S. Seperti pendahulunya, kedua-dua model ini juga memfokuskan kegunaan untuk aktiviti lasak di luar.
Pada masa sama, kedua-duanya juga berkongsi spesifkasi dalaman yang sama. Perbezaan yang dilakukan pada kerangka skrin, di man Garmin Instinct 2 Solar lebih besar dengan tubuh 45mm. Sementara itu, tubuh Garmin Instinct 2S pula yang hanya bersaiz 44mm. Ini membolehkan pengguna mempunyai lebih pilihan yang sesuai dengan pergelangan masing-masing.

Seterusnya, tubuh kedua-duanya juga menggunakan bahan gred-tentera 810G untuk haba, ketahanan serta kalis air sehingga 100m. Kemudian, ia juga dilengkapi sejumlah ciri penjejakan kesihatan terbina seperti pemantauan degupan jantung, penjejakan kitaran haid dan tempoh hamil, pemantauan pola tidur serta tekanan dan sebagainya.
Terdapat juga sokongan Multi-GNSS yang bersesuaian untuk aktiviti mencabar seperti mendaki, berbasikal gunung atau bermain ski. Di mana, pengguna boleh mengakses pelbagai sistem satelit navigasi global seperti GPS, GLONASS dan Galileo daripada GPS sahaja. Seterusnya, ABC Sensors dan Trackback Routing pula dapat memberi manfaat untuk menavigasi jarak dengan lebih baik.

Bagi jangka hayat bateri, Instinct 2 boleh bertahan sehingga 28 hari dalam mod jam pintar dan tanpa had dengan bantuan solar. Sementara itu, Instinct 2S pula boleh bertahan mencapai 21 hari lamanya dalam mod jam tangan pintar. Lain-lain spesifikasi adalah ia mempunyai kebolehan untuk menerima teks, kebolehan pembayaran nirtunai menerusi Garmin Pay dan banyak lagi.
Untuk harga, Garmin Instinct 2 dijual pada $449.99 (~RM1,883), sementara itu Garmin Instinct 2S pula berharga $349.99 (~RM1,465) untuk seutas.
Sumber : Garmin Global