Sekitar Acara Rumpun – Menguji Samsung Galaxy S21 FE 5G

Diterbitkan pada Feb 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apakah cara terbaik untuk menguji peranti tanpa sebarang gangguan dari jurujual? Menerusi acara Rumpun, ia merupakan acara yang membawakan peranti terkini untuk dicuba para pembaca. Setelah sekian lama ketiadaan acara Rumpun, 29 Januari yang lalu kami telah mengadakan acara ini di The PartyRoom, Atria Damansara Jaya.

Pada acara ini, kami membawakan peranti siri FE baharu dari Samsung yang dilancarkan pada awal Januari lalu, iaitu Samsung Galaxy S21 FE 5G. Ia membawakan cip Exynos 2100, RAM 8GB, storan sehingga 256GB, paparan skrin 6.4-inci Dynamic AMOLED 2X yang menyokong 120Hz dan HDR10+, bateri 4,500 mAh, ketahanan air IP68 serta menyokong 5G.

Menerusi aktiviti di Rumpun kali ini, kami telah membawa pembaca untuk menguji peranti ini menerusi beberapa situasi, serta mempelajari fungsi-fungsi yang ditawarkan Samsung Galaxy S21 FE 5G ini. Para hadirin dibawa ke beberapa stesen aktiviti disamping bertanding bagi memenangi hadiah.

Ketahanan Galaxy S21 FE 5G – Dengan Kaca Corning Gorilla Glass Victus

Para peserta dibawa bermain Whack-A-Mole dimana mereka perlu mendapatkan telefon yang disorokkan oleh pasukan editor Amanz. 

Fungsi Single Take Memudahkan Rakaman Video dan Gambar Serentak

Single Take merupakan salah satu fungsi rakaman yang diperkenalkan Samsung sejak Galaxy S20. Fungsi ini membolehkan pengguna melakukan satu rakaman, akan tetapi pada masa sama turut menghasilkan video darinya. Malah dengan kecerdasan buatannya turut mengetahui babak penting untuk dirakamkan supaya tidak terlepas.

Menerusi aktiviti Floor Curling dan Football Arena, peserta merakamkan detik-detik permainan dengan mudah, dengan hanya satu rakaman. Sesudah rakaman tersebut, fail yang terhasil adalah dalam bentuk video dan juga gambar, malah terdapat rakaman ‘Boomerang’ memudahkan perkongsian ke media sosial. 

Mencari Peranti Dengan SmartThings Find

Pada masa kini kebanyakan peranti turut menyokong fungsi untuk carian semula menggunakan aplikasi SmartThings. Ia membolehkan anda mencari peranti yang tersalah letak, atau disorokkan menerusi peranti lain. Para peserta telah mencuba fungsi ini dengan mengaktifkan SmartThings Find menggunakan Galaxy Watch4, bagi mencari telefon yang disorokkan didalam kolam bola ini. 

Rakaman Video Kurang Gegaran Dengan Penstabil Imej Optikal

Salah satu acara yang mencabar sambil mencuit hati adalah Super Run dimana peserta perlu berlari sambil merakam objek yang sedang bergerak. Samsung Galaxy S21 FE 5G ini dilengkapi penstabil imej optikal, dan dapat merakam video dengan kurang gegaran walau hakikatnya pengguna sedang berlari bagi mendapatkan markah yang tinggi.

Ketahanan Air IP68

Menjadi kemuncak acara ini adalah apabila peserta perlu berbasikal bagi membasahkan pasukan lawan sambil merakam detik-detik mencabar ini. Mungkin perkara ini agak berbahaya memandangkan air merupakan musuh utama barangan elektronik namun Galaxy S21 FE 5G ini menyokong ketahanan air IP68.

Pengguna peranti ini tidak perlu risau akan risiko air kerana dengan tahap ketahanan air IP68, ia dapat bertahan dalam situasi yang mencabar ini. Malah fungsi-fungsi rakaman video tetap sedia digunakan, membolehkan pelbagai detik dapat dirakamkan pengguna.

Sesudah acara lasak ini, pertandingan akhir adalah melibatkan kuiz Terpaling FE bagi mencari peserta manakah yang paling mengetahui serba serbi mengenai Samsung Galaxy S21 FE 5G. Pemenang untuk acara ini telah menerima peranti tersebut, sementara pasukan yang memenangi aktiviti telah menerima wang tunai.

Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Samsung bagi menjayakan acara Rumpun kali ini. Nantikan acara Rumpun yang seterusnya. 

komen


© Amanz / 2022 Kami