Cari @ Amanz

Enam tahun lepas, Apple telah menamatkan jualan Thunderbolt Display, iaitu monitor bersaiz 27-inci dengan resolusi 2560×1440 piksel yang dijual sejak tahun 2011. Namun sehingga hari ini, masih tiada monitor baharu dalam kategori sama ditawarkan selain daripada Pro Display XDR yang ditujukan kepada pengguna profesional dan dijual pada harga bermula RM19,999.

Terkini menurut penganalisa Mark Gurman, Apple mungkin akan hadir dengan monitor mampu milik baharu sebagai pengganti kepada Thunderbolt Display. Mampu milik di sini bermaksud, ia adalah lebih murah daripada Pro Display XDR dan menyasarkan pengguna biasa.

Monitor ini dikatakan akan hadir dengan dua pilihan saiz, iaitu 24-inci atau 27-inci. Harga jualan pula dikatakan adalah sekitar $2500 iaitu separuh daripada Pro Display XDR.

Pro Display XDR

Untuk Pro Display XDR pula, Apple turut dikatakan akan hadir dengan generasi baharu dengan saiz 32-inci yang akan mempunyai cip siri A Apple, GPU tersendiri untuk memudahkan lagi tugasan para profesional. Harga jualan dikatakan adalah sama dengan yang sedia ada, yang mana mungkin model lama ini akan dihentikan penjualannya.

Masih tidak pasti lagi sama ada adakah Apple akan melancarkan kedua-dua model monitor ini pada tahun ini. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd