Sewaktu acara Consumer Electronics Show 2022 yang berlangsung di Las Vegas pada awal bulan Januari, NVIDIA telah mengumumkan kehadiran sejumlah kad grafik baru, utama diantaranya ialah NVIDIA GeForce RTX 3090 Ti.
Kad grafik ini dilihat sebagai kad grafik paling berkuasa keluaran NVIDIA setakat ini sepatutnya hadir dengan butiran lanjut mengenai pelancarannya pada penghujung bulan Januari, tetapi sehingga kini masih tiada sebaran kelibat mengenai kad grafik tersebut.

Beberapa laman web melaporkan bahawa NVIDIA sedar mengenai kelewatan pengumuman tersebut, tetapi juga memberitahu bahawa mereka tiada sebarang maklumat untuk dikongsikan berkenaan kad grafik tersebut buat masa ini.
Ia dijangka bahawa bekalan komponen semikonduktor seperti cip pemprosesan grafik, memori, GDDR6X, transistor, kapasitor dan sebagainya adalah sebab utama mengapa kad grafik ini dihentikan pembangunannya buat masa ini.

Dari segi spesifikasi, NVIDIA GeForce RTX 3090 Ti ini dilengkapi dengan GPU NVIDIA GA-102-35-A1, memori GDDR6X sebanyak 24GB, dengan kelajuan GPU sehingga 1860 MHz.
Menariknya, beberapa jenama seperti ASUS dan EVGA dilihat sudahpun hadir dengan rekaan penyejuk GPU dan kotak kad grafik ini, tetapi nampaknya pelancaran kad-kad grafik ini akan ditunda sehingga NVIDIA menyelesaikan isu bekalan komponen mereka.
Sumber: The Verge