Microsoft Surface Laptop Studio Kini Boleh Dipra-tempah Di Malaysia Pada Harga Permulaan RM7399

Diterbitkan pada Feb 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sekitar suku terakhir tahun 2021, Microsoft telah melancarkan sejumlah peranti baru untuk digunakan oleh para pekerja pejabat dan juga kreatif profesional. Diantara peranti tersebut ialah komputer riba Microsoft Surface Laptop Studio yang bukan sahaja hadir dengan penawaran komponen berkuasa, tetapi juga rekaan fleksibel dan unik yang boleh dimanfaatkan oleh artis-artis dan para pelukis digital.

Bermula dengan paparan, Surface Laptop Studio hadir dengan paparan PixelSense bersaiz 14.4 inci dengan Dynamic-woven Hinge, iaitu sebuah engsel yang membolehkan paparan skrin ini diubahsuai kedudukannya untuk menjadikannya lebih ergonomik, berubah bentuk dari komputer riba tradisional kepada sebuah kanvas seni yang mudah digunakan.

Dari segi spesifikasi, Surface Laptop Studio hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5 dan Core i7, memori DDR4 sehingga 32GB dan juga pilihan grafik Intel Iris Xe ataupun NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti.

Paparan Surface Laptop Studio juga hadir dengan paparan dengan kadar segar semula 120Hz, pembesar suara Quad Omnisonic dan Dolby Atmos yang bukan sahaja menjadikan komputer riba ini sebuah mesin produktiviti yang berkuasa, tetapi juga peranti riadah yang memuaskan.

Komputer riba ini turut hadir dengan sebuah slot di bawah bahagian papan kekunci yang boleh digunakan untuk menyimpan stylus Microsoft Slim Pen 2 yang boleh digunakan dan disimpan pada bila-bila masa sahaja.

Microsoft Malaysia mengatakan bahawa pra-tempah untuk komputer riba ini sudah dibuka bermula hari ini, dan tiga model akan ditawarkan untuk pasaran tempatan melalui kedai-kedai seperti Thundermatch, Harvey Norman, dan kedai atas talian Microsoft di Lazada.

  • Microsoft Surface Laptop Studio (Intel Core i5, Iris Xe, 16GB RAM, 256GB SSD) – RM7399
  • Microsoft Surface Laptop Studio (Intel Core i7, RTX 3050 Ti, 16GB RAM, 512GB SSD) – RM9399
  • Microsoft Surface Laptop Studio (Intel Core i5, Iris Xe, 32GB RAM, 1TB SSD) – RM11,999

komen


© Amanz / 2022 Kami