Carian
Polis Sarawak Beri Peringatan Trend Baru Jenayah Penipuan Melalui Android APK
February 16, 2022 Aman

Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak, kini mengeluarkan peringatan kepada orang ramai, supaya tidak terpedaya dengan taktik terbaru sindiket jenayah penipuan yang menggunakan kaedah penggunaan fail APK untuk peranti Android.

Seperti ramai sedia maklum, melalui fail APK, ia membolehkan sesuatu aplikasi dipasang pada peranti pengguna berasaskan sistem operasi Android. 

Melalui sindiket penipuan ini, mereka mengiklankan barangan melalui media sosial, dan menghubungi mangsa melalui WhatsApp untuk memuat-turun fail APK untuk Android.

Mangsa seterusnya akan diperlukan melakukan pendaftaran akaun percuma, selain membuat pembayaran melalui kad kredit atau bank atas-talian.

Fail APK ini direka untuk mencuri pelbagai maklumat pengguna, termasuk maklumat perbankan atau kad kredit.

Polis Sarawak memberi peringatan supaya tidak mudah tertipu dengan iklan di media sosial, selain tidak mudah percaya dengan lampiran APK yang dihantar secara terus oleh orang yang tidak anda kenali.

Pastikan anda hanya memasang aplikasi daripada kedai aplikasi rasmi, dan sentiasa berhati-hati ketika memasukkan butiran perbankan pada mana-mana borang atas-talian. 

Komen