Oppo Reno7 | Reno7 Pro – Apa Menarik Untuk Siri Baharu Kali Ini?

Diterbitkan pada Feb 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Secara tradisinya, Oppo Reno merupakan siri yang sering memfokuskan kepada kebolehan kamera cukup menarik. Melaluinya, Oppo akan cuba bereksperimentasi serta ‘bermain’ dengan pelbagai jenis fungsi fotografi menarik bagi menjadikan sesebuah peranti berkenaan mempunyai nilai yang tersendiri. Bukan itu sahaja, kebanyakan spesifikasi dalaman lain yang diberikan juga adalah sepadan dengan konsep peranti itu sendiri.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, siri ini bakal dikemaskini dengan beberapa model baharu tidak lama lagi. Melaluinya, Oppo Reno7 dan Oppo Reno7 Pro akan diumumkan dan kedua-duanya dikatakan mampu memberikan pengalaman penggunaan tanpa gangguan, sekaligus menjadi inspirasi dalam kebolehan fotografi kreatif. Selari dengannya, kami di Amanz telah berpeluang awal untuk melihat lebih dekat mengenai penawaran pada kedua-dua peranti tersebut.

Namun, perkongsian artikel ini mungkin sedikit terhad kerana kami hanya akan menyentuh mengenai rekaan fizikal dan fungsi fotografi yang dibawa oleh peranti. Sudah semestinya, kami tidak akan berkongsi penjelasan lebih lanjut mengenai spesifikasi khusus. Tetapi, segala butiran penuh tersebut bakal kami kongsikan dengan lebih menyeluruh sejurus ianya dilancarkan kelak.


Rekaan Fizikal

Meskipun berada di bawah siri yang sama, namun tidak bermakna kedua-dua peranti mempunyai rekaan fizikal yang serupa. Perbezaannya cukup besar boleh dilihat dengan jelas sehinggakan masing-masing mempunyai nilai yang tersendiri. Tidak percaya? Anda boleh menyemaknya sendiri menerusi beberapa perkongsian gambar yang kami sediakan. Dapat dilihat, Reno7 Pro mempunyai rekaan sisi tubuh yang rata dan berkotak. Kalau perasan, ini adalah rekaan yang sama boleh ditemui pada model pendahulunya iaitu Reno6 5G.

Kemudian, perubahan ketara boleh dilihat pada model Reno7 yang memiliki sisi tubuh melengkung dengan padanan skrin sejenis rata. Pengalaman memegang kedua-dua peranti memberikan keselesaan yang baik. Tetapi, tubuh pada Reno7 Pro lebih memberi kepuasan yang tersendiri kerana ia terasa lebih padat dan selesa di dalam tangan. Seperkara lagi, jika diperhatikan, nilai premium pada Reno7 Pro lebih menyerlah sekaligus tampil memikat menerusi warna menarik yang menjadi pilihan anak muda.

Perbezaan seterusnya terletak pada kemasan panel belakang peranti. Jelas kelihatan, modul kamera pada Reno7 Pro kelihatan lebih menyerlah dengan padanan dua warna berbeza digunakan. Susun atur kamera boleh dikatakan agak aneh berbanding beberapa model terdahulu. Melaluinya, ia menunjukkan dua lensa bersaiz besar sebagai titik fokus, kemudian diikuti pula dengan dua lagi kamera bersaiz kecil sebagai ‘penambah rencah’. Ini sekaligus menjadikan peranti ini menyokong sistem kuad-kamera secara keseluruhannya.

Berbeza pula dengan modul kamera pada Reno7 yang kelihatan mirip dengan sebuah Realme 9i. Ia menampilkan sistem tri-kamera dengan sensor utama sebesar 64-Megapixel di belakang. Cuma bezanya, lensa ketiga dan LED Flash telah diubahsuai sedikit kedudukannya. Turut kelihatan, terdapatnya penjenamaan Oppo pada panel belakang kedua-dua peranti ini yang diletakkan pada bahagian bawah.

Sedikit kelebihan menarik pada model Reno7 Pro adalah peranti mempunyai ciri pencahayaan seakan RGB pada lingkaran modul kamera. Oppo menggelarkannya sebagai Breathing Light dan pencahayaan ini adalah statik tanpa sebarang kebolehan pengubahsuaian. Pencahayaan ini juga hanya terhad kepada pilihan warna biru sahaja. Secara lalai, pencahayaan ini akan menyala apabila peranti sedang dalam proses pengecasan. Tetapi, pengguna masih mempunyai pilihan untuk mengaktifkannya bagi sejumlah penggunaan lain seperti menerima notifikasi dan panggilan, sesi permua dan banyak lagi.

Bergerak ke bahagian sisi, butang kuasa diletakkan pada sisi kanan untuk kedua-dua peranti. Kemudian, bahagian sisi kiri pula memperlihatkan wujudnya butang laras audio. Pada hemat kami, binaan kesemua butang adalah kukuh dan cukup selesa untuk digunakan. Namun begitu, terdapat tambahan untuk ruangan slot SIM pada model Reno7 pada sisi yang sama.

Perbezaan lain turut boleh dilihat menerusi bahagian bawah peranti. Di mana, Reno7 mempunyai bicu audio 3.5 dan ini sudah semestinya memudahkan sebilangan pengguna yang masih setia dengan fon telinga jenis berwayar. Kemudian, ia juga diikuti dengan port sambungan USB-C dan pembesar suara sejenis mono. Berbeza pula dengan model pro yang tidak dilengkapi sokongan bicu 3.5mm. Sebaliknya, Oppo meletakkan ruang slot SIM yang dipadankan dengan port sambungan USB-C dan pembesar suara pada bahagian tersebut.

Baiklah, ketiadaan bicu audio pada Reno7 Pro sudah semestinya akan menimbulkan rungutan dalam kalangan sesetengah pengguna. Namun begitu, isu sebegini sebenarnya ada sahaja penyelesaian yang boleh diambil. Cumanya, pengguna perlu berbelanja sedikit untuk mendapatkan aksesori tambahan seperti fon telinga nirwayar. Tambahan pula, pasaran kini sedia dibanjiri dengan pelbagai pilihan fon telinga nirwayar dengan segmen harga yang menarik. Ini bermulalah pada tahap yang mampu milik sehingga ke premium. Jadi, pilihan terletak di tangan masing-masing.

Kemudian, panel hadapan yang digunakan pada Reno7 dan Reno 7 Pro adalah sejenis berlubang dengan sokongan lensa swafoto tunggal. Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai binaan bezel pada kedua-dua peranti ini. Ia nampak cukup baik terutama sekali untuk model Pro – di mana, ia menunjukkan saiz bezel seimbang pada keempat-empat sisi peranti. Namun begitu, Reno7 pula masih menampakkan kewujudan dagu pada bahagian bawah. Ia bagaimanapun, baik-baik sahaja dan boleh dikatakan tidak memberi impak yang teruk sepanjang penggunaan. Perlu diingatkan, rekaan sebegini juga adalah perkara biasa untuk kebanyakan peranti dalam kelas yang sama.


Fungsi & Ciri Menarik

Salah satu fokus utama pada siri Reno secara tradisinya adalah kebolehan fotografi yang baik. Sama seperti kali ini, Oppo turut mengetengahkan fungsi fotografi yang baik bagi membolehkan pelbagai jenis karya kreatif yang boleh dihasilkan oleh pengguna menerusi penawaran tersebut. Pada masa sama, sokongan pada kamera juga dikemaskini dengan perisian lebih baik untuk pengalaman lebih menyeronokkan.

Seperti yang kami katakan dalam beberapa perenggan di atas, perkongsian ini agak terhad. Segala butiran lanjut seperti konfigurasinya akan dikongsi kemudian. Secara lalai, antara muka kamera menunjukkan beberapa fungsi kamera yang sedia ada seperti Night Mode, Video, Photo, Potrait dan sebagainya. Bagaimanapun terdapat beberapa fungsi menarik yang yang turut menjadi fokus utama pada Oppo Reno 7 dan Reno 7 Pro. Antaranya seperti berikut :

1) Potrait Mode – Tidak seperti sebelumnya, fungsi Portrait Mode pada siri Oppo Reno7 telah dipertingkatkan dengan lebih banyak kawalan menarik. Ia juga dikatakan lebih baik dalam mengesan subjek pada gambar dan latar belakang bagi membolehkan hasil terakhir nampak menonjol. Melaluinya, terdapat sehingga 25 pilihan kawalan kesan bokeh tersedia yang boleh di laras mengikut kesesuaian pengguna sendiri.


2) Bokeh Flare Portrait – Fungsi ini akan mengaburkan latar belakang secara automatik, kemudian menyerlahkan subjek atau objek di hadapan. Melaluinya, anda akan perasan ia membuatkan hasil tangkapan kelihatan lebih cantik berbanding gambar potret biasa. Ia juga boleh digunakan dalam apa jua keadaan tidak kira sama ada pencahayaan terang mahupun gelap.

Tambahan pula, kebolehannya kini telah dipertingkatkan untuk hasil yang lebih baik terutamanya untuk penggunaan dalam pencahayaan rendah. Cari sahaja mana-mana latar belakang yang mempunyai lampu, kemudian hasil tangkapan akan secara automatik menjadi cantik dengan efek kabur cahaya lampu kelihatan seakan cahaya neon cukup cantik.


3) AI Colour Portrait – Fungsi yang membolehkan latar belakang sesuatu gambar menjadi hitam dan putih. Namun begitu, subjek atau objek akan dikekalkan pada warna yang asal. Ia cukup menarik kerana tangkapan gambar yang terhasil akan nampak sedikit berbeza. Sebagai contoh, gambar di bawah menunjukkan subjek kekal pada warna asal. Sementara itu, latar belakang pula bertukar warna menjadi hitam dan putih. Seperti namanya, hasil tangkapan juga sudah semestinya menunjukkan kesan bokeh. Tetapi, ia bukanlah efek boleh yang biasa sebaliknya kelihatan lebih sedap mata memandang.


4) AI Highlight Video – Ia menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan jenis keadaan sekeliling. Kemudian, meningkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuk hasil memuaskan. Sokongan algoritma 3D LUT (3D Lookup Table) Color Tuning yang menyokongnya juga membolehkan pengguna merakam video dengan lebih jelas dan terang dalam semua jenis situasi pencahayaan. Maka, tiada keperluan untuk proses pertukaran tetapan kamera secara manual yang diperlukan, sebaliknya rakaman menjadi lebih mudah.


5) Dual-View Video – Ciri yang membolehkan video dirakam menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Terdapat tiga jenis templat berbeza yang boleh dipilih iaitu Split, Round dan Rectangle. Fungsi ini kebiasaannya banyak digunakan oleh mereka yang gemar merakam Vlog. Di mana, reaksi wajah yang ceria boleh dirakam sekali apabila melihat sesuai yang menarik untuk dikongsi. Sedikit kelebihan pada Oppo Reno7, sokongan AI Beautification kini sedia terbina pada kamera hadapan, sementara itu kamera belakang pula mempunyai kebolehan zum digital mencapai 20X.


6) Ultra Steady Video – Membolehkan pengguna membuat rakaman video dengan stabil – seakan dirakam menggunakan gimbal. Tidak kira sama ada anda menggunakannya sewaktu berjalan mahupun sejumlah aktiviti yang lain, hasilnya kelak adalah memuaskan dengan penghasilan semula warna yang turut boleh diterima.


7) Focus Tracking – Fungsi ini tersedia pada Oppo Reno7 Pro. Ia menyediakan kebolehan fokus pada subjek secara automatik. Tidak kira sama ada anda bergerak di dalam atau di luar bingkai, kamera akan kekal fokus secara automatik. Sekaligus, subjek atau objek kekal berada dalam bingkai video sehingga rakaman selesai dibuat.

Sekian sahaja sedikit sebanyak perkongsian kami mengenai rekaan dan sejumlah fungsi menarik pada peranti baharu Oppo ini. Segala persoalan mengenai butiran penuh bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak. Seperti biasa, setia dengan kami dengan Amanz untuk kemas kini lebih lanjut.

komen


© Amanz / 2022 Kami