Cari @ Amanz

Kekurangan paling ketara peralatan audio bluetooth ialah ia mempunyai hayat penggunaan yang tidak panjang. Mengecasnya dengan kerap perlu menjadi rutin bagi mengelakkan peranti mati ketika digunakan. Audio-Technica ATH-CKS50TW yang dilancarkan semalam menyelesaikan isu ini kerana mempunyai ketahanan bateri sehingga 50 jam.

Setiap putik audio mampu berfungsi secara berterusan sehingga 20 jam dengan sekali caj atau sehingga 50 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya sistem pembatalan hingar ANC tidak digunakan. Setiap putik dilengkapi pemandu audio sebesar 9mm dan mempunyai ketahanan kalis air IPX4.

Bagi pengguna Android terdapat sokongan Fast Pair bagi memudahkan tambatan. Codec yang disokong pula ialah SBC, AAC dan Qualcomm aptX. Seperti kesemua TWS di pasaran, ATH-CKS50TW dilengkapi pad sesentuh untuk kawalan media, penukaran pantas di antara dua peranti dan juga audio Sony 360 Reality Audio. Audio-Technica ATH-CKS50TW dijual pada harga $218 (~RM911) sepasang dalam pilihan tiga warna biru, hitam dan putih.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd