Oppo sedia terkenal dengan beberapa siri untuk rangkaian peranti pintar keluarannya. Salah satu daripadanya adalah siri Find X yang merupakan barisan peranti berspesifikasi mercu. Penawaran yang diberikan juga kebanyakan cukup menarik dan selari dengan konsep peranti itu sendiri.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, model kemas kini untuk siri berkenaan telah disahkan bakal tiba pada 24 Februari 2022. Peranti yang dimaksudkan adalah siri Oppo Find X5 yang mana kewujudannya juga bukanlah suatu hal yang rahsia lagi. Kita juga sedia mendengarnya beberapa kali menerusi perkongsian yang tertiris di arena web. Ini termasuklah spekulasi awal mengenai spesifikasi dan rekaan fizikal pada peranti.
Seiring dengan pengumuman berkenaan, Oppo turut sama mendedahkan rekaan pada peranti sepenuhnya. Ia menunjukkan peranti mempunyai rekaan yang sama seperti beberapa imej tular sebelum ini. Terdapatnya sistem tri-kamera yang digunakan dan dua daripadanya bersaiz besar. Rekaan bonggol juga tidak lagi berbentuk segi empat, sebaliknya ia berubah ke arah bentuk trapezoid.
Peranti juga akan dibekalkan dengan sistem kamera Hasselbald. Ia berikutan terdapatnya penjenamaan pengeluar tersebut pada panel belakangnya. Pada masa sama, penjenamaan Powered by MariSilicon di antara lensa kamera turut jelas kelihatan sekaligus menandakan ia turut disertakan pada peranti kelak.
Menurut spekulasi awal, Oppo dijangka hadir dengan sekurang-kurangnya dua model berbeza untuk siri kali ini. Ianya terdiri dengan Oppo Find X5 dan Oppo Find X5 Pro. Setakat yang diketahui, perbezaan di antara kedua-dua model ialah penggunaan cip MediaTek Dimensity 9000 pada X5 dan Snapdragon 8 Gen 1 pada X5 Pro.
Sumber : Weibo