Motosikal Pertama Brabus Habis Dijual Dalam Masa Kurang 2 Minit

Diterbitkan pada Feb 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak memulakan operasi mereka 45 tahun yang lalu, Brabus mengukir nama sebagai syarikat yang mengubahsuai kenderaan Mercedes untuk menjadi lebih berkuasa menggunakan komponen tambahan dan pengurangan berat. Jika kita sekarang hidup dalam norma baharu, Brabus ingin mencuba pasaran baharu pula dengan pengenalan motosikal pertama mereka Brabus 1330R.

Brabus 1330R dibina berasaskan motosikal KTM 1290 Super Duke R Evo dengan penambahan komponen prestasi tinggi, rekaan yang ditambah baik dan pengurangan berat sebanyak 6 kilogram. Enjin 1,301-cc LC8 V-twin yang digunakan memberikan output 180 hp kuasa kuda. Motosikal boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat dengan kelajuan maksimum pula 270 km/j.

Kesemua maklumat pemanduan dipaparkan pada skrin multi fungsi sebesar 5″. Bagi memudahkan lagi penunggang 1300R menyokong sistem nirkunci bukan sahaja untuk menghidupkan enjin tetapi juga pintu mengisi minyak. Sistem transponder mengesan kehadiran pemilik dan enjin dihidupkan dengan menekan butang sahaja.

Perubahan paling ketara pada rekaan 1300R berbanding 1290 Super Duke R Evo ialah lampu berbentuk bulat menggantikan lampu berkembar KTM. Rim motosikal digantikan pula dengan yang diperbuat daripada bahan gentian karbon dan juga penggunaan sistem ekzos berkembar Brabus.

Sistem brek Brembo Stylema Monoblock dipadankan dengan sistem ABS dari Bosch serta sistem gantungan semi aktif WP yang memang tersedia dari KTM. Sebanyak 154 unit Brabus 1330R ditawarkan pada harga €39,500 (~RM188,000) sebuah. Walaupun harga jualan melampau, kesemua unit telah dipesan dalam masa kurang dua minit.

komen


© Amanz / 2022 Kami