Cari @ Amanz

Pada bulan lepas, Black Shark Malaysia telah mengumumkan ketibaan peranti premium kedua mereka yang dilancarkan sekitar masa yang sama dengan peranti Black Shark 4 asal, iaitu Black Shark 4 Pro.

Perbezaan diantara kedua-dua peranti pintar ini tiba dari segi komponen dalaman, iaitu penawaran cip pemprosesan, memori dan juga jumlah storan. Dalam pada itu, terdapat juga perbezaan dari segi satu aksesori tambahan yang ditawarkan yang pada hemat kami, menjadikan peranti ini agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

Kami telah diberi sebuah peranti Black Shark 4 Pro ini untuk diulas, dan dalam artikel ini kami akan memperlihatkan apakah yang lebih elok daripada peranti ini, dan samada ia masih berbaloi dibeli walaupun ia hampir setahun lewat tiba ke pasaran ini.

Rekaan Dan Spesifikasi

Black Shark 4 Pro
Skrin6.67″ Super AMOLED
1080×2400, 144Hz
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1x 3.2 GHz Kryo 585
3x 2.42 GHz Kryo 585
4x 1.80 GHz Kryo 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM8/12 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 UFS 3.1
Kamera Utama64+8+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4
Mod malam, Kamera AI
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.0
Bateri4500mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM2499/RM2999

Sama seperti Black Shark 4, Black Shark 4 Pro hadir dengan paparan skrin bersaiz 6.67 inci dan mempunyai resolusi 1080×2400 dengan kadar segar semula 144Hz. Ia menggunakan panel Super AMOLED keluaran Samsung, yang merupakan diantara paparan terbaik yang boleh digunakan untuk tujuan menonton kandungan dan bermain permua selain daripada menggunakan paparan OLED.

Dari segi spesifikasi pula, Black Shark 4 pro tampil dengan penawaran cip Qualcomm Snapdragon 888, dengan pilihan memori dan storan 8GB + 128GB dan juga 12GB + 256GB.

Salah satu perkara yang saya suka mengenai kehadiran ciri kadar segar semula yang tinggi pada peranti pintar ialah kadar tatalan yang sangat lancar sekali, dan dengan Black Shark 4 Pro, penatalan menu dan antaramuka sistem operasi peranti ini adalah sangat baik.

Sokongan untuk kadar segar semula tinggi pada aplikasi-aplikasi permua khususnya masih berada pada tahap yang rendah, akan tetapi ini bukanlah isu peranti ini, dan apabila suatu hari tiba dimana permua-permua semuanya hadir dengan sokongan tersebut, Black Shark 4 Pro ini sedia menantinya.

Di bahagian sisi kiri peranti ini kita dapat lihat butang kuasa peranti ini yang juga dilengkapi dengan pengimbas cap jari terbina didalamnya. Di bahagian atas dan bawah sisi peranti ini pula ialah dua butang pintas fizikal, yang mana sebelum ini diperkenalkan melalui Black Shark 3.

Butang kawalan audio berada pada bahagian kanan peranti, manakala palam pengecasan USB Type-C dan palam audio 3.5mm terletak di bahagian bawah peranti.

Di bahagian belakang peranti ini ialah sistem tri-kamera yang terdiri daripada kamera 64MP, 8MP dan 5MP yang mana ia adalah kamera biasa, kamera ultra-lebar dan kamera mikro. Ini sedikit berbeza dengan penawaran Black Shark 4 sebelum ini, dimana kamera utamanya menggunakan sensor 48MP.

Sistem Operasi Dan Perisian

Sama seperti Black Shark 4, Black Shark 4 Pro menggunakan sistem operasi Android 11 dengan antaramuka JoyUI 12.5. Pendapat saya mengenai antaramuka Black Shark 4 Pro masih lagi sama seperti peranti sebelumnya, iaitu ia hadir dengan rekaan perisian yang sempoi dengan sentuhan gamer melalui gambar latar dan juga beberapa perisian tambahan.

Dari segi penawaran perisian, Black Shark 4 Pro hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik, seperti always-on display, Sunlight Mode yang meningkatkan kecerahan paparan sekiranya anda sering menggunakan peranti pintar anda dibawah cahaya matahari untuk mengurangkan masalah silau.

JoyUI secara ringkasnya ialah antaramuka MIUI yang diubahsuai sedikit untuk menjadikan sistem operasi peranti Black Shark 4 ini hadir dengan personalitinya tersendiri. Pada pendapat saya, ia cukup kemas dan senang untuk dinavigasi, tetapi dengan sekilas pandang anda akan tahu bahawa ini adalah sebuah peranti pintar gaming.

Satu tambahan yang diperlihatkan kepada Black Shark 4 Pro ialah aplikasi Shark-Chan, iaitu aplikasi maskot Black Shark yang menunjukkan maskot tersebut pada halaman rumah peranti tersebut. Aplikasi ini dilihat sebagai suatu penambahan estetik yang memperlihatkan waifu pada paparan skrin peranti ini, dan tidak memberikan sebarang kelebihan dari segi prestasi ataupun kecekapan pada peranti anda.

Sama seperti peranti Black Shark 4 sebelum ini, Black Shark 4 Pro hadir dengan dua butang bahu yang juga boleh digunakan sebagai butang pintas untuk mengakses fungsi dan juga aplikasi-aplikasi pada peranti ini dengan cepat dan mudah.

Di bahagian sisi peranti ini anda akan dapat lihat butang slider yang akan mengaktifkan butang pintas tersebut secara fizikal dan menolaknya balik akan menutup kembali butang tersebut. Bagi saya, butang fizikal ini masih lagi fungsi terbaik pada peranti ini kerana ia bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh permua, tetapi juga secara praktikal oleh pelbagai jenis pengguna.

Sama seperti Black Shark 4, model Pro hadir dengan perisian Shark Space yang boleh mengubahsuai pelbagai jenis tetapan pada permua-permua anda dengan cepat. Jika Black Shark 3 hadir dengan butang fizikal yang membolehkan anda mengakses Shark Space dengan cepat, ia diganti dengan pintasan yang boleh ditatal melalui skrin sahaja pada peranti ini.

Penggunaan perisian Shark Space ini tidaklah begitu sukar, tetapi satu kritikan yang saya akan berikan ialah tidak seperti perisian lain yang boleh dipasangkan pada peranti ini, anda wajib menekan butang keluar untuk keluar daripada perisian ini.

Aksesori

Black Shark 4 Pro juga hadir dengan sokongan untuk aksesori tambahan seperti pengawal permua, kipas penyejuk dan rangka peranti. Apa yang menarik di sini ialah Black Shark tidak mengeluarkan sebarang aksesori baru untuk Black Shark 4, yang mana jika anda sudahpun memiliki aksesori-aksesori Black Shark 3, kesemuanya boleh digunakan pada peranti ini tanpa masalah.

Pada pendapat saya ini adalah solusi yang lebih jimat wang berbanding dengan penawaran ROG Phone 5, yang mana lebih kurang daripada aksesori ROG Phone 3 tidak boleh digunakan pada peranti baru itu. Dari aspek ini, Black Shark 4 semestinya peranti yang lebih baik dari segi penjimatan wang.

Jika anda baru kepada ekosistem aksesori gaming Black Shark, aksesori-aksesori ini boleh dibeli melalui kedai atas-talian Black Shark di Shopee pada harga yang boleh dikatakan agak mampu milik. Sejak pelancaran peranti ini, Black Shark turut memperlihatkan aksesori tambahan seperti fon telinga TWS Lucifer mereka.

Kamera

Tidak seperti Black Shark 4, model Pro hadir dengan modul kamera yang sedikit berbeza dimana kamera utamanya hadir dengan sensor 64MP berbanding dengan 48MP pada kamera sebelum ini.

Selain daripada resolusi yang lebih besar ini, pada pendapat saya, kamera pada kedua-dua kamera ini lebih kurang sahaja kualitinya, tidak kira untuk gambar pada siang hari ataupun untuk waktu malam.

Tetapi satu kritikan saya untuk kamera peranti Black Shark 4 Pro ini ialah apabila mengambil gambar jarak dekat ataupun makro, pemfokusan untuk peranti ini boleh saya katakan agak perlahan untuk memastikan gambar yang diambil tajam.

Pengalaman Pengguna

Perbezaan paling ketara diantara Black Shark 4 dan model Pro ialah penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 pada model Pro, berbanding dengan Snapdragon 870 pada model sebelumnya.

Untuk penggunaan biasa, saya boleh katakan tidak begitu banyak beza diantara Black Shark 4 dan Black Shark 4 Pro. Dari segi penatalan paparan, menu dan penggunaan aplikasi biasa, peranti ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk menggunakan sebarang jenis aplikasi riadah dan produktiviti yang anda perlukan.

Bagi mereka yang gemar beriadah dengan kandungan penstriman video, Black Shark 4 Pro hadir dengan paparan skrin yang cukup jelas dan juga pembesar suara stereo yang meningkatkan mutu audio yang didengari walaupun tanpa menggunakan fon telinga.

Bagi mereka yang masih lagi memiliki fon telinga berwayar, seperti yang dikatakan sebelum ini, Black Shark 4 Pro tampil dengan palam audio 3.5mm untuk mutu audio yang lebih mendalam, tidak kira anda mendengar lagu ataupun menonton video.

Untuk aktiviti-aktiviti selain gaming, boleh saya katakan Black Shark 4 Pro diantara peranti yang mantap digunakan tanpa perlu risau mengenai isu seperti thermal throttling. Malah penggunaan bateri untuk perantii ini untuk tujuan selain daripada gaming juga sangat baik dalam pengalaman saya menggunakan peranti ini.

Berbeza pula ceritanya apabila kita bercakap mengenai gaming, khususnya untuk permua yang mempunyai keperluan grafik tinggi seperti Honkai Impact 3rd dan Genshin Impact. Sumpahan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 kembali menghantui peranti ini pula.

Suhu Black Shark 4 Pro boleh meningkat sehingga 40-42 darjah Celcius apabila menggerakkan permua-permua seperti ini, dan boleh saya katakan bahawa ia merupakan satu pengalaman yang tidak begitu enak, membakar jari-jemari anda apabila bermain permua kegemaran anda.

Suhu panas yang menggila ini dilihat boleh menyebabkan isu thermal throttling yang dikatakan tadi, dimana prestasi dalam permainan berkurangan kerana cip pemprosesan tersebut akan cuba untuk menurunkan suhu dengan mengurangkan kelajuannya.

Satu langkah untuk mengurangkan isu peranti panas ini ialah dengan menggunakan penyejuk peranti yang ditawarkan oleh Black Shark, seperti penyejuk Black Shark Fun Cooler 2 Pro ataupun Black Shark Magnetic Cooler untuk mengurangkan suhu peranti kepada tahap yang lebih rendah.

Kedua-dua penyejuk ini boleh dibeli dari Switch dan juga Urban Republic, dan ia adalah aksesori tambahan yang tidak semestinya perlu dibeli, tetapi jika anda peminat tegar permua-permua seperti Honkai Impact, Genshin Impact, COD: Mobile dan seangkatannya, ini mungkin boleh menjadi satu pelaburan jangka masa panjang khususnya kerana ia juga boleh dimanfaatkan oleh pelbagai peranti pintar lain.

Pengalaman penggunaan keseluruhan Black Shark 4 Pro ini bagi saya tidak banyak berbeza berbanding dengan Black Shark 4 yang pernah kami ulaskan sebelum ini, selain daripada isu suhu yang diperkatakan. Penggunaan butang pintas sebagai butang tambahan dalam permainan juga adalah sama seperti dalam peranti sebelum ini.

Penanda Aras

Berikut adalah skor-skor penanda-aras daripada GeekBench 5 dan juga Antutu yang digerakkan menggunakan peranti Black Shark 4 Pro.

Skor-skor ini dilihat selari dengan skor penanda-aras peranti-peranti yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888, dan bukanlah sesuatu yang begitu mengejutkan.

Apa Dalam Kotak?

Penawaran aksesori dalam kotak Black Shark 4 Pro adalah hampir sama dengan apa yang ditawarkan dalam peranti Black Shark 4. Ia hadir dengan peranti, beberapa manual yang menerangkan tentang fungsi-fungsi peranti ini, sebuah rangka yang diperbuat daripada silikon dan juga pengecas peranti.

Berbeza dengan penawaran Black Shark 4 yang memperlihatkan penawaran pengecas 65W sahaja untuk pasaran tempatan, Black Shark 4 Pro hadir dengan pengecas Hyper Charge 120W yang mampu mengecas peranti ini dalam masa yang sangat singkat, dimana sebelum ini ia perlu dibeli secara berasingan.

Dengan Black Shark 4 Pro, pengecas pantas ini ditawarkan secara terus, menjadikannya salah satu daripada sejumlah kecil jenama yang menawarkan aksesori ini.

Sama seperti Black Shark 4 juga, Black Shark 4 Pro tidak menawarkan sebarang aksesori audio dari dalam kotak, tetapi jika anda mahu, mereka ada menawarkan beberapa aksesori audio mampu milik yang boleh dibeli secara berasingan, seperti fon telinga TWS Black Shark Lucifer T1/T2 ataupun fon telinga Black Shark dengan sokongan palam 3.5mm.

Penutup

Kami jangkakan bahawa Black Shark 4 Pro ini hanya ditawarkan hampir setahun selepas ia diperkenalkan bersama-sama peranti Black Shark 4 kerana apabila cip Qualcomm Snapdragon 888 dilancarkan, bekalan cip tersebut dikatakan sangat terhad, dan oleh kerana itu hanya model dengan Snapdragon 780 ditawarkan pada mulanya,

Pendapat saya mengenai Black Shark 4 Pro tidak begitu jauh berbanding dengan Black Shark 4. Dari segi prestasi peranti, cip pemprosesan Snapdragon 888 yang digunakan masih lagi mantap seperti biasa, dan tiada sebarang isu yang dapat saya lihat apabila peranti ini digunakan seperti biasa.

Isu peranti panas juga bukanlah sesuatu yang terhad kepada Black Shark 4 Pro ini, kerana semua peranti yang menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 888 dilihat hadir dengan masalah yang sama, iaitu menjadi tersangat panas apabila cip pemprosesan tersebut digunakan untuk menggerakkan aplikasi-aplikasi yang memerlukan prestasi tinggi.

Black Shark 4 Pro ditawarkan RM2599 dan RM2999 bergantung kepada spesifikasi memori dan juga storan. Model lebih murah hadir dengan konfigurasi 8GB dan 128GB, manakala model lebih mahal tampil dengan spesifikasi 12GB dan 256GB.

Pro:

  • Prestasi yang baik
  • Hadir dengan pengecas pantas 120W
  • Rekaan segak
  • Butang pintas yang mudah digunakan dan diubahsuai
  • Sokongan aksesori lama

Kontra:

  • Cepat panas
  • Jangkahayat bateri yang tidak begitu lama
  • Fokus kamera yang perlahan
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd