Cari @ Amanz

LG bukan sahaja terkenal dengan televisyen yang berkualiti. Mereka turut mempunyai projektor yang hebat dan mampu menawarkan pengalaman tontonan yang memuaskan.

Terbaru daripada mereka adalah LG CineBeam HU710PW, iaitu projektor hibrid yang menggunakan kedua-dua pancaran daripada LED dan juga laser. Menggunakan kedua-dua sumber cahaya ini mampu memancarkan kandungan dengan kecerahan sehingga 2000 Ansi Lumens dan boleh bertahan sehingga 20,000 jam penggunaan.

Untuk spesifikasi lain, projektor ini turut mampu memaparkan nisbah kontras pada kadar 2,000,000:1, saiz paparan daripada 40-inci sehingga 300-inci. Tetapi LG dilihat menyarankan pancaran pada saiz 150-inci dengan jarak projektor ke dinding atau permukaan 4.3 meter.

Cuma sedikit mengecewakan yang projektor ini hanya mampu memaparkan resolusi 1920 x 1080 FHD dan saiz 4K adalah menggunakan perisian sahaja. Untuk sambungan ia menyertakan 2x HDMI 2.0, 1x HDMI 2.1, 1x RJ45, 1x S/PDIF dan 2x USB-A 2.0. Seperti kebanyakan produk paparan LG terkini, CineBeam HU710PW turut menjalankan webOS 6.0. Alat kawalan jauh turut disediakan dengan sokongan butang akses pintas ke aplikasi penstriman terpilih.

Harga jualan adalah $2499 iaitu sekitar RM10,465 dan jualan dilihat terhad di Amerika Syarikat dan United Kingdom sahaja buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd