Cari @ Amanz

OnePlus sebentar tadi telah melancarkan OnePlus Nord CE 2 5G secara rasmi melalui satu filem pendek bertemakan perisikan dan penganiayaan. Peranti ini adalah generasi kedua untuk OnePlus Nord CE 5G, iaitu Nord versi Core Edition.

Dengan peranti ini, identiti sub-jenama Oppo ini mula kelihatan dengan rekabentuk seakan Oppo Find X3 pada bahagian kamera. Peranti ini hadir dengan skrin 6.43-inci AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz beresolusi 1080 x 2400 FHD+, dilindungi kaca Gorilla Glass 5 dan kecerahan 600 nits.

Peranti ini dijana dengan cip Dimensity 900 dan dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM serta storan dalaman 128GB. Peranti hadir dengan konfigurasi tri-kamera 64MP + 8MP + 2MP dan kamera swafoto 16MP. OnePlus Nord CE 2 5G turut menjalankan Oxygen OS 11.3 berasaskan Android 11 dan belum lagi Oxygen OS 12 atau 13 berasaskan Android 12.

Untuk bateri, saiz 4500mAh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas 65W SuperVOOC. Lain-lain spesifikasi adalah, peranti ini masih hadir dengan port bicu audio 3.5mm, tiada butang gelangsar notifikasi ikonik dan menyokong pengimbas cap jari bawah skrin.

Harga jualan peranti ini adalah 349€ iaitu sekitar RM1660. Pilihan warna kali ini adalah Gray Mirror dan Bahama Blue, iaitu warna Nord ikonik, cuma kali ini lebih terang dan berkilat. Buat masa ini pelancaran hanya terhad di negara-negara Eropah dan India sahaja. Belum ada informasi sama ada peranti ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Penghujung video ini, filem pendek ini mengacah yang ia akan bersambung. Mungkin untuk pengganti Nord 2 pula? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd