Cari @ Amanz

YouTube memperkenalkan beberapa lagi ciri yang diharap dapat menghadkan penyebakran maklumat palsu yang menggunakan platform mereka. Antara yang cuba dilakukan ialah menghadkan video dari disarankan kepada pengguna lain dengan minat yang sama sekaligus mengelakkan ia tular sebelum terlambat.

Maklumat palsu yang cuba dibendung adalah seperti teori konspirasi dan mengenai Covid-19 yang kini menjadi tajuk utama perbualan masyarakat. Antara langkah drastik yang ingin diambil YouTube ialah menghalang perkongsian video keluar dari YouTube dengan tidak membenarkan ia diletakkan di lama web menerus ciri embed dan tidak memberikan butang perkongsian pautan ke laman lain.

YouTube Dislike

YouTube menyedari langkah yang diambil boleh dilihat sebagai menghalang kebebasan pengguna untuk berkongsi dan akan memperhalusi lagi sistem sedia ada. Sistem kecerdasan buatan juga dilatih dengan set kata kunci dalam pelbagai bahasa dan maklumat dari penganalisa dari kawasan tertentu dunia.

Kelemahan sistem YouTube pada waktu ini ialah ia tidak cekap menangkap video dengan maklumat palsu dalam bahasa selain Inggeris. Ini dapat dilihat dengan kandungan berbahaya yang tular dikongsi di Malaysia walaupun mempunyai maklumat yang jauh menyimpang.

Mereka juga akan cuba memaparkan maklumat dari sumber sahih dan dipercayai orang ramai. Ini adalah satu lagi masalah kerana tidak semua penyiar kebangsaan adalah telus dalam menyebarkan maklumat dan dalam banyak kes terlibat dalam penyebaran propaganda berbahaya.

YouTube menegaskan mereka akan lebih telus dalam menghalang penyebaran maklumat palsu di platform mereka dan menyedari mereka tidak mempunyai kesemua jawapan. Oleh itu perkongsian dan perbincangan mengenai akan terus dilakukan untuk mencari jalan yang terbaik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd