Rangkaian peranti di bawah siri Poco X sering memfokuskan kepada tawaran spesifikasi seimbang yang mampu memberikan penggunaan harian menjadi lebih baik. Tidak hanya terhad pada spesifikasi dalaman semata, tetapi reka bentuk yang dipersembahkan juga memiliki nilai tersendiri.
Dalam perkembangan terkini, tular beberapa imej yang didakwa memperlihatkan reka bentuk untuk sebuah peranti Poco yang masih belum diumumkan. Dikenali sebagai Poco X4 Pro 5G, ia sebelum ini dilaporkan telah tersenarai di laman Geekbench dengan kod nama Xiaomi 2201116PG.
Imej dikongsi menunjukkan penggunaan bonggol kamera yang besar pada panel belakang peranti. Malahan boleh dikatakan rekaannya ini hampir menyerupai sebuah Poco M3 tetapi bonggol kamera berkenaan dilihat lebih tebal. Seterusnya, ia juga menempatkan sistem tri-kamera dengan sokongan sensor utama sebesar 108-Megapixel. Seterusnya, peranti juga mempunyai rekaan sisi tubuh yang kini rata dan berkotak seumpama penawaran pada beberapa peranti siri Redmi Note 11 sebelum ini.
Kemudian, panel hadapan pula adalah sejenis berlubang dengan sokongan kamera swafoto tunggal pada bahagian tengah. Saiz bezel juga nampak seimbang pada bahagian sisi dan atas, tetapi tidak pula pada bahagian bawah. Di mana, ia masih menunjukkan kewujudan dagu, namun ia semestinya tidak mengganggu sewaktu digunakan kelak.
Menurut spekulasi awal, Poco X4 Pro mungkin dilengkapi skrin 6.67-inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Turut melengkapinya adalah cip Snapdragon 695, kamera utama 108MP, bateri 5000mAh dan menjalankan antara muka MIUI 13 berasaskan Android 11. Buat masa ini, tiada butiran lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti yang diketahui.
Sumber : Twitter