Shortwave Adalah Klien Emel Mirip Inbox By Gmail Daripada Bekas Pekerja Google

Diterbitkan pada Feb 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Inbox by Gmail dilancarkan pada tahun 2014 dan merupakan klien emel untuk Gmail yang digemari ramai. Ini kerana ia menawarkan fungsi dan ciri yang pintar, serta memudahkan pengguna seperti mampu menyusun emel mengikut kategori, gabungkan emel dalam satu bebenang, menyokong Smart Reply atau juga snooze emel. Sayang sekali perkhidmatan Inbox ini dimatikan pada Mac 2019 dengan alasan banyak ciri ini sudah diintegrasikan ke dalam Gmail.

Namun, tidak semua ciri Inbox sebenar disertakan pada Gmail dan ia membuatkan orang ramai kecewa. Pelbagai versi alternatif turut hadir daripada pelbagai pembangun, namun masih tiada yang mampu menandingi Inbox. Kini beberapa bekas pekerja Google termasuk Andrew Lee yang bertanggungjawab terhadap Firebase oleh Google hadir dengan Shortwave.

Shortwave juga merupakan sebuah klien emel. Apa yang menarik adalah ia dilihat mengambil konsep yang sama daripada Inbox by Gmail, malah jika dibandingkan ia kelihatan lebih kurang sama sahaja. Ia mampu mengorganisasikan emel, membenarkan pengguna kawal notifikasi, menyemat emel penting atau kegemaran, boleh drag & drop emel, atau juga snooze emel.

Klien emel ini turut boleh menyusun emel mengikut kategori penting, seperti berkenaan dengan kalendar, media sosial, klien penting, kemaskini dan sebagainya. Ini membolehkan peti masuk klien emel ini tidak menyemakkan. Kaedah menulis emel dan menyimpan draf juga dilihat diberi fokus, kerana lebih memudahkan dan cuba memberi keselesaan kepada pengguna.

Sayang sekali, ini adalah syarikat pihak ketiga dan mereka memerlukan dana untuk teruskan perkhidmatan mereka. Walaupun Shortwave percuma untuk digunakan, ia mempunyai storan terhad dan beberapa ciri pasukan yang dihadkan. Untuk akses penuh, pengguna perlu bayar $9 sebulan (~RM38). Turut diingatkan yang ini adalah klien emel pihak ketiga yang akan meminta akses Gmail peribadi anda. Shortwave menjanjikan semua data akan disulitkan.

Aplikasi yang ditawarkan adalah untuk Android dalam bentuk beta, iOS dan untuk desktop pula adalah dalam bentuk aplikasi web.

komen


© Amanz / 2022 Kami