Cari @ Amanz

Realme sedia hadir dengan penawaran Narzo 50A dan Narzo 50i sebagai penerus tradisi untuk siri berkenaan yang menyasarkan terhadap golongan belia. Bagi mengembangkan lagi jangkauan produknya, mereka kini dalam persediaan untuk pengenalan model kemas kini baharu dikenali sebagai Realme Narzo 50.

Beberapa maklumat mengenainya juga kini telah dikongsi secara terbuka. Ini termasuklah reka bentuk fizikal dan cip pemproses yang bakal digunakan sebagai tunjang utama peranti. Ia menunjukkan panel belakang peranti di dominasi oleh kamera yang disusun dalam bentuk segi empat. Melaluinya, tiga kamera dan LED Flash dengan susunan yang sama seumpama sebuah Realme 8 Pro sebelum ini.

Seterusnya, panel hadapan adalah sejenis rata dengan tubuh yang kini berkotak. Kita turut menyaksikan sokongan skrin berlubang dengan lensa swafoto tunggal turut melengkapi peranti. Dalam pada itu, paparan ini turut sama menyokong ciri tambahan lain seperti kebolehan kadar segar semula tinggi mencapai 120Hz. Bukan itu sahaja, pengimbas cap jari sisi turut menjadi pilihan Realme sebagai sistem sekuritinya, di samping turut berfungsi sebagai butang kuasa. Kemudian, butang laras suara dan slot untuk kad SIM turut kelihatan pada bahagian sisi kiri.

Pelancaran rasmi peranti telah dijadualkan berlangsung pada 24 Februari 2022 dalam sebuah acara yang bakal diadakan di India. Ia juga telah disahkan hadir dengan janaan cip MediaTek Helio G96. Seperti biasa, penawaran penuh mengenai peranti pintar sudah semestinya terjawab selepas ia dilancarkan kelak. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Amazon India

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd