Selepas beberapa minggu mengacah kehadiran siri Oppo Reno7 di Malaysia, Oppo Malaysia hari ini akhirnya melancarkan kedua-dua peranti Oppo Reno7 dan Oppo Reno7 Pro secara rasmi untuk pasaran tempatan. Seperti siri Reno sebelum ini, Reno7 adalah peranti kelas pertengahan premium yang menawarkan kemampuan fotografi tahap peranti mercu dan rekaan peranti yang unik dengan kemasan yang menarik.
Oppo Reno7 Pro 5G
Peranti ini menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.5-inci dengan kadar segar semula 90Hz, menyokong piawaian HDR10+ dan diiktiraf untuk penstriman HDR pada Prime Video. Cip pemprosesan yang menjana peranti ini adalah Dimensity 1200-Max yang dipadankan dengan memori 12GB RAM dan 256GB storan dalaman. Seperti kebanyakan peranti Oppo sebelum ini, sokongan memori maya turut disokong sehingga 7GB menjadikan jumlah RAM adalah 19GB.
Untuk kamera, Oppo Reno7 Pro 5G hadir dengan tetapan 50MP sensor Sony IMX766 + 8MP sensor sudut ultra-lebar + 2MP sensor makro dan turut hadir dengan sensor suhu warna. Kamera swafoto pula menggunakan sensor RGBW Sony IMX709 bersaiz 32MP. Oppo kali ini turut menambah baik fungsi Bokeh Flare Portrait Video, AI Highlight Video, menambah mod potret lebih profesional, menyokong Focus Tracking dan juga mempunyai sokongan mod 108MP.
Peranti ini turut dimuatkan dengan bateri 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W SuperVOOC yang Oppo dakwa, lima minit pengecasan boleh bertahan sehingga 4 jam tontonan video. Reno7 Pro 5G menjalankan ColorOS 12 berasaskan Android 11 dengan sokongan Omoji, PC Connect serta sekuriti dan privasi yang lebih baik.
Oppo juga meneruskan sokongan motor getaran paksi-X untuk kesan haptik yang lebih baik ketika menerima notifikasi serta bermain permua. Oppo Reno7 Pro 5G juga menggunakan rekaan trend terkini, iaitu rata di setiap sisi. Oppo turut menggunakan bonggol kamera besar, tetapi masih kelihatan cantik, unik dan kemas. Pada bonggol ini turut disertakan sekali lampu LED di kelilingnya. Panel belakang pula menggunakan Oppo Glow dengan teknologi LDI yang mempunyai kesan warna cerun, kesan kusam untuk memberikan keselesaan tambahan.
Oppo Reno7 5G
Peranti ini pula adalah versi yang lebih mampu milik. Kebanyakan ciri kamera pada Reno7 5G adalah sama sahaja dengan Reno7 Pro. Cuma kamera yang digunakan adalah 64MP utama + 8MP sudut ultra lebar + 2MP makro dengan kamera swafoto 32MP. Kamera swafoto dilihat menyokong kawalan gestur atas udara kerana sensor yang lebih besar yang boleh mengesan lebih banyak butiran.
Skrin juga lebih kurang sama, kecil sedikit sahaja iaitu 6.4-inci dengan panel AMOLED dan kadar segar semula 90Hz. Skrin peranti ini walau bagaimanapun tidak menyokong HDR dan hanya terhad pada resolusi HD penuh pada Netflix dan Prime Video. Berbeza dengan versi Pro, Reno7 5G dijana dengan cip pemprosesan Dimensity 900 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM serta storan dalaman 256GB. Memori maya pada peranti ini hanya menyokong sehingga 5GB sahaja.
Bateri peranti juga sama iaitu 4500mAh dengan pengecasan pantas SuperVOOC 65W. ColorOS 12 dengan Android 11 juga adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini. Ciri sama seperti Omoji dan fokus terhadap privasi dan sekuriti diberikan.
Rekaan kelihatan lebih kurang sama, cuma peranti ini mempunyai sedikit elemen melengkung di panel belakang. Kemasan juga sama dengan Oppo Glow, memberikan pengguna siri Reno7 tidak terasa asing.
Oppo Malaysia menjual Oppo Reno7 Pro 5G dengan pilihan warna Startrails Blue atau Starlight Black. Ia hanya mempunyai memori 12/256 GB pada harga RM2999. Untuk Reno7 5G juga mempunyai pilihan warna Startrails Blue, satu lagi pula adalah Starry Night dengan memori hanya 8/256 GB pada harga RM1999.
Pra-tempahan akan bermula pada hari ini 22 Februari sehingga 4 Mac. Mereka yang membeli di peringkat awal akan menerima hadiah bernilai RM1,406, iaitu TWS Enco Buds, beg galas Reno, jaminan skrin retak 1 tahun dan pelbagai keistimewaan eksklusif melalui aplikasi My Oppo. Oppo turut menawarkan belian-dengan-belian 50% untuk Oppo Watch Free, Enco Air2 dan boleh menerima beg tote Reno7.