Cari @ Amanz

Z Triton 2.0 Ialah Rumah, Basikal Dan Bot Elektrik Tiga Dalam Satu

Link Copied!

Aigars Lauzis ialah seorang pengembara yang telah melakukan perjalanan 30,000 km dari UK ke Jepun menggunakan basikal. Dalam perjalanan beliau yang turut merentasi Malaysia, beliau menyedari betapa lecehnya proses memasang khemah dan mencari pengangkutan air untuk tiba ke destinasi. Selepas pulang semula ke UK beliau memikir sebuah kenderaan hibrid yang menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Hasilnya ialah Z Triton 2.0 yang menggabungkan sebuah basikal elektrik, bot dan rumah bergerak. Ia dilengkapi motor elektrik 1000W dan tujuh gear yang membantu penunggang ketika penat atau mendaki gunung. Dalam mod basikal, bateri boleh memberikan jarak operasi sehingga 50km.

Apabila diperlukan tayar boleh dilipat dan pelampung dipasang untuk ia terapung dalam mod bot lengkap dengan motor elektrik 1150W. Hayat bateri dalam mod bot pula ialah 20km. Sekiranya kehabisan bateri, sebuah dayung turut disertakan. Seterunya terdapat ruang kabin yang boleh menempatkan dua orang untuk tidur lengkap dengan sistem penyejuk serta pemanas.

Bateri boleh dicaj menggunakan bekalan elektrik ataupun panel solar yang diletakkan pada bahagian bumbung. Z Triton 2.0 turut dilengkapi sistem lampu, lampu isyarat dan hon untuk menjadikannya selamat digunakan di jalan raya. Kemewahan moden seperti palam USB untuk mengecas peranti, GPS dan radio dengan sokongan bluetooth turut disertakan.

Bagi yang berminat memiliki kenderaan hibrid bagi keperluan pengembaraan peribadi, Z Triton 2.0 dijual pada harga €14,500 (~RM69,000) sebuah.


Komen ()