Twitter adalah platform media sosial yang turut digelar sebagai blog mikro atau microblog. Ia adalah platform di mana pengguna boleh meluahkan perasaan mereka dalam satu ciapan ringkas, berkongsi cerita penuh dalam bentuk bebenang dan banyak lagi.
Lama-kelamaan, Twitter berkembang sehingga menyertakan lebih banyak fungsi baharu yang bersaing dengan platform media sosial lain. Antara ciri menarik adalah pemesejan, bual audio Spaces, ciri perniagaan, ciri keselamatan untuk ciapan yang selamat dan bertapis, atau juga platform untuk perniagaan.
Namun tidak dinafikan yang Twitter ada banyak kekurangan yang tidak digemari orang ramai sehinggakan terdapat versi pihak ketiga dan Twitter juga cuba memancing orang memberikan ciri dan fungsi yang sepatutnya percuma tetapi berbayar melalui Twitter Blue.
Dalam artikel ini, saya akan kongsi pengalaman menggunakan kedua-dua Tweetbot dan Twitter Blue. Saya telah gunakan klien Twitter pihak ketiga beberapa tahun untuk Android dan iOS dan Tweetbot yang menjadi kegemaran kerana di Android seperti Flamingo ada banyak masalah notifikasi dan sebagainya. Twitter Blue sudah masuk bulan kedua saya gunakan, jadi yang mana satukah berbaloi? Atau patutkah anda bayar untuk menggunakan Twitter?
Sebelum saya mulakan, mari saya kongsi kepada anda apakah itu Tweetbot dan Twitter Blue?
Tweetbot oleh Tapbots
Dilancarkan oleh Tapbots pada 2011 untuk iOS dan setahun kemudian baru diperkenalkan untuk macOS. Sehingga hari ini ia adalah klien Twitter pihak ketiga yang eksklusif untuk platform Apple. Tweetbot adalah aplikasi Twitter yang dikustomasi kerana boleh melakukan pelbagai perkara yang Twitter rasmi hadkan. Antaranya adalah memaparkan pelbagai garis masa mengikut kategori, lebih banyak pilihan membisukan perkataan termasuk dengan jadual, penapis untuk garis masa seperti hanya memaparkan ciapan dan bukan ciapan semula, tema tersuai dengan pelbagai warna dan pilihan ikon, sesuai untuk iPad, menyokong widget, dan banyak lagi.
Twitter Blue
Pelan langganan Twitter untuk negara terpilih. Ia adalah perkhidmatan langganan bulanan pertama mereka dengan ciri menarik semula ciapan, ada mod membaca untuk bebenang dengan kemampuan mengubah saiz teks, juga mempunyai ciri mengubah tema dan ikon, boleh menukar navigasi di bar bawah aplikasi iOS, boleh menetapkan gambar profil dengan NFT, memaparkan artikel teratas dan tanpa iklan dan banyak lagi. Walaupun sehingga ini ia masih terhad di beberapa negara, namun ia boleh sahaja dilanggan di Malaysia dengan pembayaran menggunakan mata wang Ringgit. Twitter Blue tidak terhad di iOS, kerana turut boleh menggunakan beberapa ciri di web dan Android (jika bernasib baik).
Walaupun saya sudah menggunakan Tweetbot bertahun lamanya dan sudah pun selesa dan menggemari setiap ciri yang diberikan namun kerana tindakan Twitter yang mengehadkan akses pihak ketiga kepada perkhidmatan mereka membuatkan saya terpaksa memilih Twitter Blue. Sedangkan dari segi harga Tweetbot adalah lebih berbaloi, tetapi dengan penawaran Twitter Blue dan selepas turut dapat menggunakannya pada peranti Android – saya akhirnya tewas dan memilih Twitter Blue sebagai Twitter pilihan saya. Ramai kata, yang natif sentiasa yang terbaik – tapi betul ke?
Tiada yang sempurna pun dalam dunia ini jika dicipta oleh manusia, kerana tidak semua boleh memuaskan hati semua orang. Saya akan kongsi pengalaman saya menggunakan kedua-dua Tweetbot dan Twitter Blue, agar anda boleh nilai sendiri yang mana patut anda bayar atau patut ke bayar?
Pengalaman Penggunaan
Tweetbot
Sejak ke belakangan ini, Tweetbot telah pun dikemaskini dengan lebih banyak ciri dan fungsi menarik. Contohnya kemampuan membuat ciapan undian, memilih siapa yang boleh membalas ciapan dan beberapa lagi. Ini menjadikan Tweetbot semakin hampir dengan Twitter natif. Antaramuka juga lebih selesa dan mesra pengguna pada hemat saya, kerana Twitter sudah lama menggunakan rekaan lebih kurang sama.
Algoritma pada Twitter juga membuatkan saya kurang gemar menatal ciapan-ciapan yang diterbit orang ramai kerana kadangkala ia mengikut trend dan bukannya terkini walaupun tetapan lalai sudah dilakukan. Tweetbot walau bagaimanapun menghormati mengguna dan mengikut kehendak pengguna. Tweetbot juga memberi saya keselesaan tambahan apabila ingin membalas sesuatu ciapan dan berinteraksi dengan pengguna lain.
Namun sebab utama kenapa saya membeli Tweetbot dan kemudian mula melanggan adalah kerana sokongan aplikasi ini pada iPad yang pada saya adalah aplikasi Twitter terbaik untuk skrin besar dan lebar. Ia boleh membuka pelbagai garis masa serentak mengikut kategori seakan TweetDeck.
Cuma apa yang saya sedari, API Twitter yang mengehadkan ciri dan fungsi pada Tweetbot menjadikan Tweetbot lebih kepada klien Twitter yang boleh menetapkan tema tersuai sahaja untuk pengguna berbanding menawarkan ciri tambahan yang banyak. Benar ada sokongan video gambar-dalam-gambar, Siri Shortcuts, menulis nota untuk peringatan diri, penyelarian dengan iCloud agar di mana anda berhenti tatal pada iPhone boleh sambung kembali pada iPad atau Mac.
Paling penting, Tweetbot membenarkan pengguna padam dan sunting ciapan dan tiada iklan.
Twitter Blue
Apa yang Twitter Blue tawarkan sebenarnya sudah lama diimplementasikan oleh pelbagai pembangun untuk klien Twitter pihak ketiga. Penggunaan Twitter Blue pada saya lebih mirip dengan pengalaman semasa menggunakan Flamingo untuk Android. Seperti Tweetbot, Twitter Blue juga terhad untuk platform Apple iaitu iOS dan iPad OS. Namun untuk web ada beberapa ciri yang boleh digunakan dan pada Android disebabkan ia adalah bahagian pelayan dan terhad di negara terpilih – hanya kadangkala sahaja saya dapat akses. Selainnya sentiasa digunakan pada iOS dan iPad OS.
Dalam Twitter Blue ini, ciri kegemaran saya adalah menarik semula ciapan atau Undo Tweet. Kemudian yang kerap saya gunakan adalah melihat artikel terkini dan yang tular serta membaca artikel luar tanpa iklan. Ciri Bookmark juga amat berguna untuk saya letak tepi artikel yang pancang dan tidak sempat baca dalam masa singkat. Saya boleh cipta folder untuk asingkan artikel atau ciapan mengikut nama pengguna, kategori atau lain-lain mengikut keselesaan tersendiri.
Kemudian untuk saya yang kerap menggunakan versi web untuk kongsi video, versi web menyokong video 1080p dan durasi 10 minit yang mana ini adalah amat membantu. Ciri kustomasi ikon dan warna bukanlah penting untuk saya kerana sudah biasa guna pada iPhone tema lalai mereka dan sudah biasa lihat aplikasi pihak ketiga Twitter yang berwarna-warni. Ciri mengubah posisi ikon navigasi di bawah juga berguna untuk tidak semakkan dengan ikon-ikon dan ciri Reader juga memudahkan dan menjimatkan masa saya membaca bebenang Twitter yang sedang hangat dibincangkan.
Kelak dalam Twitter Blue, ada banyak ciri lagi akan ditambah seperti Tweetdeck mungkin akan dimasukkan dalam ini dan banyak lagi.
Keismpulan
Twitter Blue pada awalnya nampak remeh, tetapi selepas berbulan menggunakannya di peringkat awal – saya rasa amat puas hati dan ia memberikan satu pengalaman baharu. Ia lebih menarik dan mengubah banyak cara saya aktif pada Twitter. Harga RM12.90 pada saya agak mahal dan untuk sementara waktu selepas artikel ini diterbit, saya akan berhenti melanggan sehinggalah ia secara rasmi tiba di Malaysia.
Tweetbot pada saya masih asas dan masih tidak sehebat Flamingo pada Android. Masalah notifikasi adalah amat menjengkelkan dan membuatkan saya hilang banyak dan terlepas informasi terkini yang tersebar di Twitter. Ia juga tidak mempunyai versi web, membuatkan di web saya perlu guna yang rasmi atau Tweetdeck. Sekurang-kurangnya Twitter Blue boleh guna di telefon dan web dengan satu langganan.
Penggunaan Twitter berbayar daripada kedua-dua platform ini akhirnya membuatkan saya terpaksa setia dengan iOS kerana penawarannya yang eksklusif. Untuk saya manfaatkan langganan yang saya bayar kepada dua pihak ini, saya tidak boleh gunakan Android kerana saya akan rasa rugi.
Apa kata anda?