Dizo merupakan sebuah jenama di bawah ekosistem Realme dan ia telah diumumkan secara rasminya sekitar bulan Mei tahun lalu. Sehingga kini, kita telah melihat pelbagai variasi produk Dizo yang telah dihasilkan. Ini termasuklah fon telinga, telefon pintar, jam tangan pintar asas dan sebagainya.
Dalam perkembangan terkini, rangkaian aksesori audio keluaran Dizo telah dikemaskini dengan penawaran produk baharu. Melaluinya, Dizo Wireless Power telah diumumkan dengan rekaan angkup leher dan fon telinga sejenis sambungan magnetik. Apabila fon telinga dicantumkan, muzik akan dihentikan secara automatik untuk penjimatan bateri. Kemudian, ia boleh bersambung semula apabila dipisahkan.
Seterusnya, tambatan pantas adalah menerusi sambungan Bluetooth 5.2, di samping turut sama menyokong mod latensi rendah 88ms dan ENC untuk pengalaman lebih baik. Tidak habis disitu, fon telinga ini turut boleh digunakan ketika bersenam kerana diperakui kalis air IPX4. Turut melengkapinya, ketahanan bateri mencapai 18 jam lamanya, sokongan kawalan sesentuh dan boleh ditambat pada aplikasi Realme Link untuk kawalan yang menyeluruh.
Dizo Wireless Power dijual di India pada harga INR2,499 (~RM140) dengan beberapa pilihan warna seperti Classic Black, Hunter Green dan Violet Blue. Buat masa ini, belum ada sebarang kemas-kini mengenai penawarannya untuk pasaran tempatan.
Sumber : Dizo India