Cari @ Amanz

Bulan Mac, April dan Mei tahun ini akan memperlihatkan ASUS membawa masuk sejumlah lagi komputer riba gaming yang mereka perkenalkan sewaktu acara CES 2022 pada awal Januari lalu. Terkini, ASUS Malaysia mengesahkan bahawa komputer riba gaming premium ASUS Zephyrus M16 akan memasuki pasaran tempatan bermula bulan Mac ini.

ASUS Zephyrus M16 hadir dengan paparan skrin bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 165Hz dengan nilai kecerahan setinggi 500nits dengan kemampuan mengolah 100 gamut warna DCI-P3.

Dari segi komponen, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-12900H, dan mempunyai penawaran memori 16GB sehingga 32GB dan pilihan storan 512GB, 1TB dan 2TB untuk mereka yang memerlukan jumlah storan berkapasiti dan kelajuan tinggi.

Dari segi pilihan GPU pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060, NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti.

Komputer riba ini juga hadir dengan input Thunderbolt 4, palam USB 3.2 Type-A dan Type-C, pembaca kad MicroSD, palam audio 3.5mm dan satu palam HDMI 2.0b yang boleh digunakan untuk menggerakkan paparan beresolusi dan kadar segar semula tinggi.

Sama dengan komputer riba ASUS Zephyrus yang lain, bahagian belakang paparan komputer riba ini hadir dengan paparan AniMe Matrix yang membolehkan pengguna meletakkan pelbagai rekaan digital di belakang untuk mengubahsuai sedikit rupa komputer riba ini.

Menurut ASUS Malaysia, komputer riba ASUS Zephyrus M16 akan mula memasuki pasaran tempatan pada bulan Mac kelak dengan spesifikasi berikut:

  • ASUS ROG Zephyrus M16 (32GB RAM, 1TB SSD, NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti) – RM11,499
  • ASUS ROG Zephyrus M16 (32GB RAM, 2TB SSD, NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti) – RM16,499

Terdapat model ketiga yang merupakan model lebih mampu milik, tetapi ia hanya akan memasuki pasaran tempatan pada bulan April ataupun Mei kelak.

ASUS ROG Zephyrus M16 (16GB RAM, 512GB SSD, NVIDIA GeForce RTX 3060) – RM8099

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd