Spotify Car Thing Mula Dijual Secara Terbuka Pada Harga RM387

Diterbitkan pada Feb 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Spotify akhirnya mula menjual pemain muzik digital Car Thing mereka hari ini pada harga $90 (~RM387) sebuah. Sebelum ini pelanggan yang berminat perlu menanti dalam senarai mencuba untuk mengujinya. Pemain muzik ini ditambat kepada sistem audio kereta menggunakan bluetooth untuk berfungsi.

Ia mempunyai sebuah tombol kawalan berputar untuk menatal muzik dan mengawal kelantangan audio. Di bahagian atas pula terdapat empat butang fizikal untuk pintasan pantas ke senarai main yang diprogramkan oleh pengguna sendiri. Sebuah skrin LCD sesentuh memaparkan kandungan yang sedang didengari. Bagi memastikan keselamatan ketika memandu, sokongan arahan “Hey Spotify” juga boleh digunakan.

Peranti boleh disambungkan pada papan pemuka kereta atau liang pendingin hawa kenderaan. Ia tidak mempunyai bateri maka perlu disambungkan kepada sumber kuasa luaran. Spotify menyertakan penyesuai yang boleh dipasang pada pencucuk rokok kereta. Langganan kepada Spotify Premium dan selular sendiri diperlukan untuk Car Thing beroperasi. Pada waktu ini Spotify Car Thing hanya boleh dibeli pengguna di Amerika Syarikat sahaja.

komen


© Amanz / 2022 Kami