Siri Call of Duty dilancarkan setahun sekali sejak 2005 seperti siri FIFA. Tetapi sambutan peminat untuk Vanguard yang dilancarkan tahun lalu mengecewakan Activision dan akibatnya siri ini akan direhatkan pada tahun 2023 menurut Jason Schreier. Permainan COD yang seterusnya akan dibangunkan oleh Treyarch dan dilancarkan pada tahun 2024.
Pada tahun ini satu permainan COD akan dilancarkan sebagai sambungan kepada siri Modern Warfare. Hanya kandungan DLC, sebuah permainan percuma dan Warzone 2 sahaja akan dilancarkan pada tahun 2023. Permainan percuma dan Warzone 2 tidak dilihat sebagai sebahagian daripada siri COD kerana tidak mempunyai jalan cerita.
Tindakan yang diambil oleh Activision ini mungkin perlu memandangkan siri yang semakin lama semakin basi sehingga tidak lagi sebaik permainan yang dilancarkan suatu ketika dahulu. Dengan kos semakin meningkat serta waktu yang lebih panjang diperlukan, melancarkan COD setiap dua tahun adalah langkah yang baik. Siri Assassin’s Creed mengambil langkah yang sama dan hasilnya ialah permainan yang bukan sahaja lebih baik tetapi tidak mempunyai masalah pepijat kronik sehingga memalukan Ubisoft.