Realme buat pertama kalinya menceburi segmen tablet menerusi pengenalan Realme Pad. Ia hadir dengan janaan cip MediaTek Helio G80, sekaligus lebih menyasarkan kepada penggunaan yang minimum seperti multimedia, permainan ringan, pembelajaran dan sebagainya. Permulaan harga yang ditawarkan juga lebih mesra poket dengan gabungan beberapa ciri menarik lain.

Dalam perkembangan terkini, Realme seakan mempunyai perancangan untuk penawaran tablet baharu. Besar kemungkinan dikenali sebagai Realme Pad Mini, tablet tersebut juga telah ditemui tersenarai menerusi laman pensijilan NBTC Thailand. Bukan itu sahaja, rekaannya turut sama telah tertiris menerusi beberapa perkongsian imej oleh Smartprix dengan kerjasama OnLeaks.
Ia menunjukkan tablet yang didatangkan dalam kemasan berwarna kelabu. Seterusnya, panel belakang tablet turut dikemaskan lagi dengan sokongan kamera utama tunggal. Ia diletakkan dalam modul kamera berbentuk segi empat pada sisi sebelah kiri. Dalam pada itu, panel belakang ini turut sama dihiasi dengan penjenamaan Realme yang diletakkan pada bahagian bawah. Butang kuasa dan laras audio pula dilihat terletak pada sisi kanan.

Namun apa yang menjadi persoalan ketika ini, bagaimana pula dengan rekaan panel hadapan? Rasanya, kita boleh menyasarkan tablet ini berkemungkinan besar lengkap dengan panel hadapan bersama saiz bezel yang seimbang sama seperti pendahulunya. Kita juga boleh mengharapkan agar Realme dapat melakukan beberapa penambah-baikan bagi menjadikan penawaran kali ini lebih menarik. Misalnya seperti sokongan untuk stylus.
Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut mengenai tarikh pelancaran khusus yang dikongsi. Sama-sama kita nantikan untuk perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa.
Sumber : OnLeaks