Cari @ Amanz

Industri gaming di Jepun boleh dikatakan salah satu pasaran yang lain daripada yang lain, dimana gamer disana bukan sahaja boleh mendapatkan konsol permainan dan komputer gaming yang berkuasa, tetapi juga perkakasan dan juga perabot yang dibina khusus untuk gamer-gamer tegar.

Terkini, sebuah syarikat e-sukan di Jepun yang bernama Basara telah mula menawarkan apartment gamer yang dinamakan e-room yang boleh disewakan secara bulanan. Basara memperkenalkan pakej berbeza bergantung kepada keperluan gamer, dimana bilik paling murah mereka boleh disewakan pada harga permulaan $340 sebulan, dan merangkumi pakej untuk sebuah komputer desktop.

Malah, sewa bilik yang ditawarkan bergantung kepada spesifikasi komputer yang dimahukan. Harga permulaan tersebut memberi penyewa sebuah komputer gaming dengan spesifikasi Intel Core i7 dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650, manakala pada sewa termahal $600 (~RM2400), pengguna akan menerima sebuah komputer dengan CPU AMD Ryzen 7 5800X dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti.

Penyewa juga boleh memilih aksesori-aksesori gaming yang mereka mahukan seperti papan kekunci, tetikus dan fon kepala daripada jenama-jenama seperti Logicool, SteelSeries, Corsair dan HyperX. Bagi mereka yang mahu memulakan kareer sebagai penstrim kandungan, mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pakej penstrim yang mengandungi aksesori webcam dan sistem pencahayaan.

Jika anda seorang pelukis digital, Basara turut memperkenalkan pakej khusus untuk golongan kreatif profesional dan memuatkan bilik tersebut dengan keperluan seorang artis.

Mereka yang menetap di Jepun dan berminat untuk menyewa bilik-bilik gaming ini boleh ke laman web e-room untuk mendaftar minat, dan bilik-bilik ini akan mula disewakan bermula bulan Mac kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd