Carian
Lebih 100 Juta Telefon Samsung Dijual Dengan Kerentanan Sekuriti Serius – Kemaskini Perisian Telefon Anda!
February 24, 2022 Aman

Terbaru, mengikut perkongsian pengkaji sekuriti, sebuah kerentanan serius telah ditemui pada telefon keluaran Samsung – sejak beberapa tahun lepas, daripada siri Galaxy S8 sehinggalah ke Galaxy S21.

Telefon Samsung sejak lima tahun kebelakangan ini dikatakan tidak menyimpan kekunci kriptografik mereka dengan baik – sekaligus membolehkan pengodam untuk mencuri atau mendapatkan informasi yang disimpan pada peranti.

Walaupun kerentanan ini agak serius, namun tiada sebarang laporan ia disalah-guna untuk tujuan pengodaman atau pencerobohan sehingga ke hari ini. Pengguna Samsung tidak perlu risau, kerana pihak Samsung sendiri telah menawarkan kemaskini mengatasi masalah ini pada patch bulan Ogos 2021 dan juga Oktober 2021 lepas.

Mungkin bagi pengguna peranti Samsung sendiri, anda agak bertuah kerana pengeluar ini menawarkan kemaskini perisian yang agak aktif untuk semua peranti keluaran mereka – berbeza dengan beberapa pengeluar peranti Android yang lain.

Bagi anda yang menggunakan peranti Samsung, pastikan anda telah kemaskini ke versi perisian terbaru untuk mengelak sebarang serangan siber berlaku pada peranti anda.

Komen