Acer Swift 5 dan Swift 3 Dengan Cip Intel Alder Diumumkan

Diterbitkan pada Feb 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Acer Swift popular di kalangan pekerja pejabat kerana rekaannya yang kemas dan saiznya yang kompak. Hari ini Acer Swift 5 dan Swift 3 baharu telah diumumkan dengan cip terkini Intel Alder Lake.

Acer Swift 5 ialah komputer premium dengan skrin 14″ sesentuh beresolusi 1600×2560 pixel bernisbah 16:10. Ia dipadankan dengan cip Intel Alder Lake, grafik Intel Xe, memori sehingga 16GB LPDDR5 dan storan SSD sehingga 2TB PCIe Gen 4. Dengan bateri yang disertakan, Acer berkata Swift 5 boleh beroperasi sehingga 10 jam. Pengecasan selama 10 minit sahaja boleh memberikan kuasa sehingga 4 jam.

Yang menjadikannya menarik ialah pad sesentuh menggunakan panel OceanGlass yang dihasilkan dari plastik yang telah dikitar semula. Pad sesentuh turut hadir dengan perisian Microsoft Precision Touchpad untuk memastikan pelbagai gestur Windows 11 disokong.

Turut disertakan ialah kamera web FHD untuk sesi telesidang yang lebih terang. Pilihan I/O adalah 2x Thunderbolt 4, 2x USB-A 3.2 Gen 1 and HDMI 2.1.

Acer Swift 3 pula dilengkapi skrin 14″ sesentuh QHD/FHD bernisbah 16:9. Ia dipadankan dengan cip Intel Alder Lake, dan storan SSD sehingga 2TB PCIe Gen 4. Acer tidak berkongsi pula mengenai pilihan RAM dan saiz bateri kali ini. Pilihan I/O pula ialah USB-C, USB-A dan HDMI 2.1. Komputer riba ini turut dilengkapi kamera web FHD, WiFi 6E dan sistem DTS audio.

Harga jualan Acer Swift 5 (SF514-56T) bermula dari $1499 (~RM6284) manakala Acer Swift 3 (SF314-512) pula pada harga bermula $849.99 (~RM3562).

komen


© Amanz / 2022 Kami