Cari @ Amanz

Xiaomi 12 merupakan antara peranti terawal yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1. Ia turut dimuatkan dengan beberapa lagi fungsi dan ciri menarik lain seperti bateri dengan pengecasan pantas 67W, kamera 50MP dengan kebolehan rakaman mencapai 8K dan sebagainya.

Xiaomi 12

Terkini, timbul pula desas-desus baharu yang mengatakan terdapatnya sebuah lagi peranti Xiaomi di bawah siri yang sama kini tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular. Dikenali sebagai Xiaomi 12 Lite, ia bakal menjadi penerus siri peranti Xiaomi Lite yang mampu menawarkan pengalaman seakan peranti mercu pada harga berpatutan.

Imej menunjukkan peranti akan mempunyai sistem tri-kamera di belakang. Salah satu daripadanya memperlihatkan sensor bersaiz besar, sekaligus mampu menjadi titik tumpuan utama pada panel berkenaan. Bersama-sama dengannya, terdapat juga lampu LED Flash dalam bentuk memanjang yang disertakan. Kalau anda perasan, ini adalah rekaan yang sama digunakan pada siri Xiaomi 12 sebelum ini.

Xiaomi 12 Lite

Cumanya, ia didakwa menyertakan skrin yang lebih besar dengan saiz 6.5-inci dan panel sejenis OLED. Turut boleh dilihat, panel hadapan adalah sejenis melengkung dengan padanan sazi bezel yang seimbang. Di samping itu, terdapat juga lubang yang ditempatkan pada bahagian tengah peranti untuk sokongan kamera swafoto tunggal.

Setakat yang diketahui, peranti bakal hadir dengan cip keluaran Snapdragon. Spekulasi awal mendakwa ia besar kemungkinan adalah Snapdragon 778G+. Seterusnya, kamera utama 64MP dengan sensor Samsung ISOCELL GW3 turut akan digunakan dengan informasi dua lagi sensor yang masih tidak diketahui. Sebagai tambahan, sistem pembesar suara stereo turut dijangka hadir bersama-sama dengannya.

Tiada informasi lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti yang dikongsi setakat ini. Namun begitu, terdapat pihak yang menyasarkan ia bakal diperkenalkan sekitar bulan Mac akan datang.

Sumber : Xiaomi MIUI

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd